| Universiti Putra Malaysia

60 pelajar UPM sertai Program Kemasyarakatan Rumah Payung

Oleh Yasmin Dunan

 

KUALA PILAH – Seramai 60 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) serta penduduk Kampung Senaling dan Kampung Bemban di sini menjayakan Program Kemasyarakatan Rumah Payung di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tun Perak dan julung kali diadakan itu bertujuan memberi inspirasi kepada mahasiswa supaya sentiasa bergiat aktif dalam program khidmat masyarakat dan mengeratkan hubungan antara masyarakat.

Pengarah program, Saufi Mat Yacoob berkata program yang dianjurkan di bawah gabungan Ketua-ketua Blok itu merupakan satu platform dan medium terbaik bagi pelajar menambah ilmu, mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti setempat, dan menjadi satu saluran sosial untuk membina serta mendorong pelajar menyemai semangat kepemimpinan, jati diri dan keprihatinan antara satu sama lain.

Pelbagai aktiviti dijalankan seperti aktiviti mendaki Bukit Senaling, melukis mural di Tadika Kemas Senaling, perkongsian mengenai baja kompos, gotong-royong, rewang dan mempelajari adat Negeri Sembilan.

Program itu secara tidak langsung juga memberi nilai tambah kepada mahasiswa dalam berkomunikasi dengan masyarakat setempat.


Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Rais Basiron berkata aktiviti baja kompos dan rewang memberi pengalaman kepada pelajar UPM untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti bersama kepada penduduk setempat.

Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Tun Perak, Shahrul Naim pula berkata peluang bertemu dengan ibu bapa angkat dalam program Rumah Payung memberi kenangan yang sukar dilupakan dan sangat bermakna buat pelajar kerana sifat ibu bapa angkat yang penyayang dan baik hati.

Ketua Kampung Senaling, Shamsul Anuar Hashim, berkata program yang disusun atur oleh pelajar UPM meliputi dari peringkat tadika hingga ke peringkat veteran menarik minat penduduk.

Katanya, kedatangan pelajar UPM sebagai anak-anak angkat ke kampung itu sangat dialu-alukan oleh penduduk Kampung Senaling dan Kampung Bemban.

Beliau berkata, pelajar UPM juga dapat mendedahkan diri serta mengetahui pelbagai masakan dan adat Negeri Sembilan.

Antara program dianjurkan ialah pertandingan mewarna untuk anak-anak berumur 12 tahun ke bawah di kedua-dua kampung itu.  - UPM

WXEZLAN~