| Universiti Putra Malaysia

503 Pelajar Baharu Diraikan Pada Majlis Ramah Mesra Bersama JPU

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin dan Wan Muhammad Muizzuddin Wan Marzuki
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 9 Ogos - Seramai 503 orang pelajar bagi program Asasi Pertanian 2022/2023 telah diraikan pada Majlis Ramah Mesra Pelajar Baharu Asasi Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU).

Majlis Ramah Mesra Pelajar Baharu Asasi Sains Pertanian UPM ini dianjurkan bagi meraikan pelajar baharu yang telah terpilih menyambung pengajian di peringkat asasi pada 30 sehingga 31 Julai lalu.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, beliau berbangga kerana pelajar-pelajar ini telah memilih UPM sebagai tempat melanjutkan pelajaran di peringkat pra-universiti.

"Saya berharap anda akan menggunakan masa dan peluang ini dengan sebaiknya untuk menggilap potensi anda sebagai pelajar dalam bidang akademik mahupun sahsiah.

"Oleh itu, diharapkan para pelajar dapat mengatasi sebarang dugaan semasa bergelar sebagai pelajar Asasi Sains Pertanian (ASPer) di samping mengharungi sesi pengajaran dan pembelajaran yang begitu mencabar ketika negara kini sedang dilanda dengan pandemik COVID-19," katanya. Sementara itu, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata kehadiran pelajar-pelajar itu bakal menjadi satu titik permulaan dalam perjalanan hidup bagi memperkukuhkan asas dalam bidang sains dan pertanian sebelum melangkah ke program ijazah kelak.

"Anda telah bersaing dengan ribuan pelajar di seluruh Malaysia dan anda adalah antara yang dipilih dan bertuah. Pastikan anda sentiasa membuat yang terbaik agar kejayaan yang anda impikan menjadi milik anda.

"Ketahuilah, kejayaan anda berada di UPM ini merupakan amanah dan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara," katanya.

Turut hadir pada majlis ini, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin, Pengarah, Pejabat Startegi Korporat dan Komunikasi UPM, Dato’ Prof. Dr. Abdul Mua’ti@Zamri Ahmad, Pendaftar UPM, En. Muhazam Mansor, Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian UPM, Prof. Madya Dr. Marina Mohd Top @ Mohd Tah, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah.

WXEQNAo~