| Universiti Putra Malaysia

487 peserta sertai Webinar Antarabangsa

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa dan Noor Habibah Daud

 

SERDANG, 2 Nov - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta pembaharuan dalam usaha pembangunan pelajar khususnya melahirkan pelajar celik kewangan dengan menganjurkan Program International secara atas talian.

Program mendapat sambutan hebat dengan 487 penyertaan mewakili pelbagai universiti dan agensi dari 23 buah negara di seluruh dunia melalui aplikasi Zoom, manakala 37 peserta menyaksikannya melalui Facebook live PKPP UPM.

Antara peserta antarabangsa yang mengambil bahagian adalah dari Afghanistan, Arab Saudi, Filipina, Ghana, India, Jordan, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Pakistan, Singapura, Somalia, Syria, Sudan dan Uzbekistan.

Sambutan menggalakkan diterima membuktikan bahawa pendidikan kewangan yang menjadi fokus webinar antarabangsa adalah salah satu pendidikan yang diperlukan oleh masyarakat global terutama di waktu dunia sedang menangani krisis pandemik COVID-19.

 

Dalam menyampaikan hasrat untuk melahirkan pelajar yang mempunyai pendidikan pengurusan kewangan yang baik sebelum bergraduat, PKPP menjemput Mekanik Wang atau lebih dikenali sebagai Abang Abu sebagai penceramah utama.

Pemilihan itu adalah berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang pengurusan kewangan serta pelbagai pengiktirafan yang diterimanya di peringkat antarabangsa seperti Financial Education Instructor oleh National Financial Educators Council dan juga diiktraf sebagai Most Innovative Financial Educator and Speaker South East Asia 2018.

Webinar antarabangsa ini turut melibatkan pelajar UPM sebagai komentator pelajar, manakala moderatornya adalah Timbalan Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa.

Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir berkata program itu adalah suatu pendekatan baharu dan pendedahan awal untuk memberi penerangan, pengetahuan dalam aspek kepemimpinan kewangan dalam kalangan pelajar universiti agar masyarakat muda dapat memahami dan menjaga pengurusan kewangan dengan baik secara berterusan.

 

“Program ini juga bertujuan membentuk keperibadian yang tinggi dan sangat besar impaknya kepada kemajuan negara dalam melahirkan masyarakat yang celik wang bermula ketika pengajian di institusi pengajian sebelum bergelar graduan yang akan menempuhi dunia realiti kelak,” katanya.

Tahun 2020 amat mencabar serta memberi impak jangka pendek dan jangka panjang kepada dunia kerana seluruh dunia ternyata tidak bersedia menangani wabak pandemik yang tidak dijangkakan itu, seperti yang ditegaskan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom pada awal tahun ini.


Sehubungan itu, Prof. Madya Dr. Nur Izura berkata, institusi pengajian perlu memperkukuhkan lagi kebersediaan bagi memperkasakan cara pembelajaran dan pengajaran dalam memastikan ekosistem para pelajar tidak keciciran serta sentiasa terpelihara dan harmoni.

Katanya, pelbagai aspek dalam penjagaan kebajikan holistik para mahasiswa perlu diteliti dan dinilai semula disebabkan norma baharu yang perlu diikuti oleh masyarakat.

Di dalam kemelut pandemik Covid 19 terselit sisi positifnya apabila pelbagai penyelesaian baharu yang kreatif dan inovatif telah muncul. Webinar antarabangsa satu daripada contohnya apabila penganjuran acara antarabangsa dapat dijalankan ketika hampir semua negara menutup pintu sempadan daripada menerima kemasukan rakyat negara lain.

Antara lain tujuan penganjuran webinar ini adalah untuk mengukuhkan kebolehpasaran graduan dalam dunia kerjaya dan membantu mahasiswa untuk berfikiran positif apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran sewaktu pengajian di universiti.

 

Mereka juga didedahkan dengan cara menguruskan kewangan dengan lebih berkesan. Pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan disarankan mengamalkan 4Q oleh penceramah kedua Muhamad Daniel yang juga pelajar tahun tiga di Fakulti Pertanian, UPM. 4Q itu ialah; 1. Intelligence quotient, 2. Emotional quotient, 3. Spiritual quotient dan 4. Physical quotient.

4Q itu penting untuk menentukan kejayaan seseorang individu kerana ia merupakan ciri-ciri yang utama di dalam meningkatkan kualiti individu.

PKPP UPM adalah antara pusat kokurikulum dan pembangunan pelajar universiti awam di Malaysia yang terawal menganjurkan webinar antarabangsa. - UPM

 

SXEYHAZ~