| Universiti Putra Malaysia

40 jam aktiviti sukarelawan diiktiraf MBOR

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar
 
 
SERDANG, 11 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi 41 projek Program Putra Longest Non Stop Volunteerism Activities (PUTRA LoVA) sempena Sambutan Hari Putra Bakti UPM.
PUTRA LoVA merupakan rekod pertama dalam negara melaksanakan aktiviti sukarelawan paling lama tanpa henti selama tempoh 40 jam.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu berkata rekod itu disahkan MBOR setelah 2,000 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar, staf UPM dan komuniti setempat berjaya melaksanakan aktiviti kesukarelawanan bermula jam 6.00 pagi pada 10 Disember 2022 dan berakhir pada jam 10.00 malam pada 11 Disember 2022.
 
"Antara aktiviti yang dilakukan ialah pembersihan, penanaman pokok, mengecat dan mencantikkan bangunan dengan lukisan mural di sekitar UPM.
 
 
"Sesungguhnya banyak yang perlu kita lakukan di kawasan UPM ini demi memartabatkan Menara ilmu ini sebagai kampus hijau yang lestari," katanya.
 
Menurutnya, aktiviti seumpama ini perlu diteruskan dalam mencapai Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025, Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.
 
"Usaha gigih, komitmen padu dan pengorbanan murni pelajar-pelajar UPM ini juga menepati objektif strategik Matlamat 1 iaitu Membentuk Watak dan Potensi Graduan yang Holistik apabila mereka keluar daripada menara gading kelak," katanya.
 
Tambahnya lagi, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat Dan Endowmen (WAZAN) UPM telah menjadi penaja bersama PUTRA LoVA dengan sumbangan kewangan sebanyak RM28,740 hasil sumbangan daripada dana zakat, wakaf dan UPM Prihatin@WAZAN. -UPM

WXEaGAf~