| Universiti Putra Malaysia

3,500 peserta meriahkan Karnival Sukan UPM 2019

Oleh: Amin Mustafha

 

SERDANG, 24 Mac: Kira-kira 3,500 peserta, termasuk dari India dan Indonesia  menyertai Karnival Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) 2019 yang berlangsung selama dua hari di sini.

Karnival sukan itu yang dianjurkan Pusat Sukan UPM mempertandingkan tujuh acara iaitu Bola Sepak Bawah 8, 10 dan 12 tahun, Dodgeball Terbuka, Dart Amatur Double & Single, Sepak Takraw Terbuka & Bakat Baru, Ping Pong Novis, E-Sports (FIFA) dan Petanque.

Pasukan Akademi Bola Sepak dari India menyertai ketiga-tiga kategori acara bola sepak, manakala pasukan dari Indonesia menyertai sepak takraw.

Karnival sukan itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr. Roslan Sulaiman. Ia adalah kelima diadakan bermula 2015.

Penglibatan ramai atlet termasuk dari luar negara merupakan kejayaan yang membanggakan penganjur, dan bilangan penyertaan pasukan dalam acara-acara yang dipertandingkan mencapai sasaran yang ditetapkan. 

Ketua Pusat Sukan UPM, Dr. Hanafiah Ayub berkata UPM sentiasa bersedia menganjurkan pelbagai acara sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa bagi memberi peluang kepada masyarakat menikmati dan menyertai kejohanan sukan yang kompetitif di salah sebuah universiti terbaik di Malaysia.

Katanya, penganjuran sukan juga dapat membuka minda masyarakat mengenai manfaat bersukan, manakala penglibatan anggota masyarakat akan menimbulkan semangat kesukanan seterusnya boleh memartabatkan lagi sukan di negara ini.

“Penyertaan yang memberangsangkan ini juga kerana UPM dilihat sebagai organisasi yang mampu menyediakan kemudahan sukan yang lengkap, selamat serta kondusif bagi setiap penganjuran sukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Turut diadakan ialah Klinik Memanah dan “roadshow” mengenai sukan E-Sports oleh syarikat Yesports Asia. Klinik Memanah ini berjaya menarik minat orang ramai terutamanya pelajar UPM yang mahu mengetahui teknik memanah.

Program “roadshow” itu turut membuka lembaran baharu dalam sukan digital di UPM melalui kolaborasi dengan syarikat Yesport Asia yang berpangkalan di Hong Kong. Pusat Sukan UPM mahu memperkemas dalam  merancang penganjuran program sukan digital berskala besar pada masa akan datang. - UPM

 

WXDdPA0~