| Universiti Putra Malaysia

19 karya seni, artifak dipamer pada NYAWA ‘18

Oleh: Azman Zakaria

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 23 Jan:  Sebanyak 19 hasil penyelidikan dan penemuan saintifik yang diolah dalam bentuk karya seni dan artifak dipamerkan pada pameran Nature’s Yield and Wonders of Art (NYAWA) ‘18  di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pameran karya seni dan artifak oleh 10 kumpulan daripada UPM, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu merangkumi pelbagai bidang pengajian termasuk sains pertanian, alam sekitar, biologi dan teknologi maklumat

Ia diadakan dari 1 Disember 2018 hingga 8 Mac 2019.

Pameran bertemakan ‘Éarth to Sky’ (Dari Bumi ke Langit) itu bertujuan menggalakkan minat dan memupuk penghayatan sains di kalangan masyarakat umum. Ia kali ketujuh diadakan sejak 2012 dengan tema-tema sebelum ini ialah FRUIT, INSECT, MICROBE, BIRD, BRAIN dan LIGHT.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zulkifli Idrus berkata, penganjuran pameran NYAWA membolehkan penyelidik UPM berkongsi hasil kajian saintifik dengan masyarakat.

Beliau berkata, bahan-bahan yang dipamerkan juga boleh menjadi sumber rujukan kepada semua termasuk saintis dan penggiat seni di seluruh negara.

“Budaya silang ilmu yang diterjemahkan dalam pameran NYAWA ini adalah salah satu usaha yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan membuka interaksi antara universiti dan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan pameran itu di sini, hari ini.

Katanya, kolaborasi antara penyelidik dan artis, nyata membuahkan hasil yang kreatif melalui artifak pameran yang menarik, interaktif dan unik selain mempunyai nilai ilmu yang disampaikan melalui sains dan seni. 

Beliau berkata ia selaras dengan tumpuan Kementerian Pendidikan untuk menjayakan pendidikan STREAM (Science – Technology – Reading – Engineering – Arts – Mathematics) di semua peringkat.

Katanya, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu selari dengan perkembangan teknologi semasa sebagai pengupaya (enabler) untuk mempersembahkan pendekatan yang terbaik. - UPM

 

 

WXEZHAn~