| Universiti Putra Malaysia

150 pelajar sertai Festival Vivarium 2017

Oleh Auliyaa Putri Ulfana

 

                                            

 

SERDANG, 18 Dis – Seramai 150 pelajar yang membentuk beberapa kumpulan menyertai Festival Vivarium 2017 dengan mempersembahkan idea dan kreativiti masing-masing melalui penggubahan dan persembahan vivarium. Vivarium adalah satu cara pemuliharan ex-situ iaitu pemuliharaan terhadap organisma sama ada fauna atau flora di luar habitat semulajadi mereka, dan dibuat di kawasan yang biasanya tertutup untuk menjaga haiwan dan tumbuhan untuk pemerhatian atau penyelidikan.

Festival itu dianjurkan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan Fakulti Pertanian, Prof Dr. Abdul Shukor Jurami berkata, program itu adalah satu daripada komponen pembelajaran sepanjang hayat apabila pelajar dapat mempelajari sesuatu yang baharu.

“Vivarium adalah satu daripada medium untuk menerapkan pemahaman serta konsep kelestarian melalui aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan sumber-sumber pertanian, penjagaan biodiversiti serta pengekalan kepelbagaian sumber genetik.

“Ia juga melatih kemahiran pertanian melalui proses perancangan, pembinaan, penjagaan serta pengurusan sebuah ekosistem yang terkawal. Festival vivarium ini berupaya mengasah kreativiti serta inovasi dan menyemai nilai-nilai dan kemahiran insaniah dalam diri,” katanya ketika merasmikan Festival Vivarium 2017 itu, di sini.

Vivarium didefinasikan sebagai sebuah ekosistem yang dibina di dalam kawasan tertutup dengan persekitaran yang terkawal atas tujuan memelihara dan mengekalkan sumber biodiversiti daripada perspektif pertanian, dengan setiap spesies yang berbeza dijaga secara spesifik.

Penasihat program, Dr Mohd Firdaus Ismail berkata beliau tertarik dengan kesungguhan dan daya kreatif pelajar menghasilkan vivarium.

 

                                        

 

Seorang pelajar daripada kumpulan yang memenangi tempat pertama, Mohamad Izzat Azamuddin berkata kumpulannya mengaplikasikan perspektif menggabungkan bahan baharu dan terpakai dalam menghasilkan vivarium termasuk menggunakan batu sungai dari Terengganu. - UPM    

SXDdJAX~