| Universiti Putra Malaysia

Wanita pengurus rumah tangga penting hadapi krisis makanan dunia

Ringkasan Artikel

Dalam keluarga wanita dianggap sebagai pengurus rumah tangga. Jadi golongan itu lebih arif mengenai keperluan mereka sama ada makanan atau keperluan harian. Misalnya ketika membeli keperluan makanan untuk isi rumah mereka setiap bulan.

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 15 Jun: Dalam keluarga wanita dianggap sebagai pengurus rumah tangga. Jadi golongan itu lebih arif mengenai keperluan mereka sama ada makanan atau keperluan harian. Misalnya ketika membeli keperluan makanan untuk isi rumah mereka setiap bulan.

Disebabkan kurang berpengetahuan pembaziran berlaku di mana seorang isteri atau ibu yang menguruskan rumah tangga membeli secara berlebihan terutama ketika tawaran murah sedangkan ianya tiada keperluan.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Pegawai Penyelidik Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik, Dr. Illisriyani Ismail, peranan seorang wanita atau pengurus keluarga ini sangat penting untuk mengurangkan kadar pembaziran isi rumah di samping menghadapi krisis makanan di seluruh dunia pada masa kini.

“Perbelanjaan isi rumah dari laporan perangkaan Malaysia pada tahun 2019 melaporkan bahawa sebuah isi rumah membelanjakan sebanyak RM783 sebulan untuk bahan makanan sahaja tidak termasuk yang lain. 

“Namun, kita semua dapat lihat semasa tempoh PKP, perbelanjaan makanan kita sangat meningkat. Seorang pengurus kelurga banyak habiskan wang mereka untuk membeli makanan yang menyebabkan 44% rakyat Malaysia dilihat suka makan,” katanya.

Selepas rakyat melalui pandemik Covid-19 selama dua tahun dan terbaru kenaikan harga makanan mungkin mendorong mereka hilang pertimbangan disebabkan pandemik Covid-19 sudah memperlihatkan gangguan rantaian bekalan di seluruh dunia disebabkan penutupan sempadan negara yang menghentikan aliran bekalan makanan dan barangan mentah.

Kini konflik Ukraine-Rusia memburukkan lagi keadaan dengan turun naik harga komoditi melonjak dengan harga makanan mencecah paras yang tidak pernah berlaku sejak kenaikan harga pada 2007 sehingga 2008.

Ketidakstabilan makanan antara empat cabaran utama kepada masyarakat seluruh dunia yang memerlukan kerjasama semua pihak dalam menanganinya.

Dalam keluarga wanita dianggap sebagai pengurus rumah tangga. Jadi golongan itu perlu merancang setiap kali lakukan pembelian mengikut bajet dengan tidak melakukan pembaziran yang melampau lagi-lagi pada harga makanan yang sedang menaik dengan mendadak sekarang ini.

“Sebagai pengurus rumah tangga yang bijak, senaraikan semua keperluan sebelum keluar membeli. Lakukan pembelian mengikut senarai tersebut dan jangan sesekali terpesong agar tidak berlaku pembaziran.

“Wanita akan teringat barangan yang bakal habis dan akan ditambah semasa pembelian tanpa sedar. Itu lumrah seorang perempuan, namun janganlah lakukan tabiat pembelian ini kerana ianya akan memberi kesan buruk kepada anda.

“Paling penting sebagai pengurus rumah tangga tiada keperluan untuk pembelian panik memandangkan bekalan sedia ada masih boleh diperolehi di pasaran meskipun bilangannya terhad.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata stok makanan masih cukup bagi menampung rakyat Malaysia.

“Persiapan untuk menghadapi krisis memang perlu dilakukan dari sekarang, namun jika nak membeli stok makanan itu janganlah sehingga 4 bulan. Ini kerana sesetengah bahan makanan akan rosak dengan cepat.

“Contohnya, beli beras, beli tiga paket beras, satu untuk kegunaan harian lagi dua paket untuk disimpan sebagai stok makanan. Jika beli stok sayur-sayuran dan bahan mentah dengan banyak, khasiatnya akan hilang kerana di simpan dalam jangka masa yang lama.

Tambahnya, sebagai pengurus rumah tangga anda perlulah melakukan pembelian yang bijak untuk bahan mentah bagi tempoh seminggu sekali bukannya sebulan sehingga penuh troli dan terlalu banyak stok.

Katanya, rakyat perlu bersedia dan ubah gaya hidup untuk tidak membeli dengan banyak seperti biasa yang dilakukan sebelum ini. - UPM

WXEYUA~