| Universiti Putra Malaysia

Ubi kayu khazanah warisan negara bakal dilupakan golongan muda

Ringkasan Artikel

Ubi kayu memang tidak asing lagi bagi mereka yang tinggal di kampung. Walaupun hari ini ianya tidak sepopular dahulu, tetapi suatu masa dahulu orang tua-tua kita pernah bergantung dengan pokok ajaib ini untuk menyambung hidup semasa Jepun menjelalah Tanah Melayu. Malah pokok ini bukan digunakan bahagian ubinya sahaja malah daunya turut menjadi sumber makanan yang menyelerakan.

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Ubi kayu memang tidak asing lagi bagi mereka yang tinggal di kampung. Walaupun hari ini ianya tidak sepopular dahulu, tetapi suatu masa dahulu orang tua-tua kita pernah bergantung dengan pokok ajaib ini untuk menyambung hidup semasa Jepun menjelalah Tanah Melayu. Malah pokok ini bukan digunakan bahagian ubinya sahaja malah daunya turut menjadi sumber makanan yang menyelerakan.

 

Di negara kita ubi kayu digunakan terutamanya sebagai sumber makanan samada daripada ubinya mahupun daun yang digunakan sebagai bahan masakan. Pucuk ubi kayu yang direbus dan dimakan bersama apa juga sambal sememangnya antara hidangan popular masyarakat kita.

 

Biasanya menjadi bahan campuran kepada masakan seperti ikan, daging ataupun daun ubi sendiri dengan dicampur sedikit ikan bilis atau udang. Bagi hidangan yang lebih eksotik seperti sambal daun kayu, daun ubi juga merupakan antara bahan yang terpilih sebagai salah satu ramuannya.

 

Berbanding dengan ubinya yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai hidangan ianya boleh direbus dan dimakan begitu sahaja. Malah ianya lebih sedap sekiranya dimakan dengan kelapa parut dan taburan garam ataupun gula.

 

Terdapat banyak kuih-muih yang menggunakan ubi sebagai bahan utamanya seperti lepat ubi, bingka ubi, ubi ketuk, kerepek dan talam ubi. Pengat ubi juga merupakan antara hidangan yang sedap disediakan dengan ubi. Ubi juga akan melalui proses pemeraman dan penapaian tapai ubi.

 

Selepas diproses dan dijadikan tepung atau berbentuk bijian ianya masih digunakan untuk tujuan penyediaan makanan seperti dicampur di dalam bubur atau pengat. Tepung ubi boleh digunakan sebagai pelikat masakan bagi menggantikan tepung jagung.

 

Malah terdapat kuih yang dihasilkan daripada biji sagu ubi ini. Tepung ubi juga menjadi bahan campuran di dalam proses pembuatan makanan yang lain seperti keropok dan kuih-muih tradisional yang lain.

 

Di Malaysia ubi kayu memainkan peranan yang penting dalam resepi masakan masyarakat yang menjadi warisan masakan Malaysia yang kaya dan tersendiri, merangkumi khazanah warisan budaya.

 

Golongan muda kurang gemar ubi kayu

 

Menurut Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (FSTM UPM, Prof Madya Dr. Anis Shobirin Meor Hussin berkata, ubi kayu tidak dapat dinafikan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia, dengan aplikasinya yang meluas dalam amalan masakan yang merangkumi generasi.

 

Walaubagaimanapun golongan muda sekarang mungkin ada di antara mereka yang kurang gemar memakan ubi kayu dengan adanya makanan moden lain yang menjadi pilihan.

 

Zaman berubah begitu juga cita rasa manusia. Jadi tidak hairanlah jika generasi muda kini tidak mengenali makanan warisan yang pernah menjadi kegemaran nenek moyang, mungkin juga ibu bapa kita suatu ketika dahulu.

 

Justeru, beliau mencadangkan agar diberi pendedahan kepada generasi muda berkaitan ubi kayu kerana mereka sudah tidak menikmati atau suka ubi kayu seperti masyarakat dulu kala.

 

“Golongan muda perlu dilibatkan dalam proses penanaman dan pemperosesan ubi dengan memberi mereka peluang untuk menyaksikan sendiri penanaman, penjagaan dan transformasi ubi kayu menjadi bahan makanan yang lazat.

 

“Memperkenalkan variasi masakan ubi kayu yang menarik dan inovatif untuk menarik minat generasi muda. Contohnya, hadirkan ubi kayu dalam bentuk snek moden seperti keropok ubi kayu berperisa, keropok ubi kayu cheesy atau keropok ubi kayu pedas,” katanya.

 

Kepentingan ubi kayu

 

Ubi kayu memainkan peranan penting dalam ekonomi kerana ia berfungsi sebagai tanaman ruji bagi banyak komuniti. Penanaman dan pemprosesannya menyediakan peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan luar bandar dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

 

Sebagai sumber rezeki yang boleh dipercayai dan boleh diakses, ubi kayu meningkatkan keterjaminan makanan dengan menyediakan bekalan karbohidrat dan nutrien penting yang stabil, terutamanya di kawasan di mana tanaman lain mungkin menghadapi cabaran akibat keadaan iklim.

 

Fleksibiliti ubi kayu patut diberi perhatian, kerana ia mendapat aplikasi dalam pelbagai industri. Daripada pemprosesan makanan, pengeluaran makanan haiwan, dan farmaseutikal kepada industri biofuel dan kanji, ubi kayu menunjukkan kepentingannya dalam pelbagai sektor.

 

Ubi kayu mempamerkan kebolehsuaian yang luar biasa kepada keadaan persekitaran yang pelbagai, menjadikannya tanaman berharga yang boleh berkembang maju dalam iklim yang mencabar dan tanah terpinggir.

 

Dengan pelbagai manfaat ini, ubi kayu tidak hanya dianggap sebagai ubi biasa. Ia memainkan peranan penting dalam aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar. Kelestarian dan pemeliharaan warisan budaya adalah sangat penting untuk masa depan.

SXFWIAY~