Obesiti Beri Kesan Kesuburan | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Obesiti beri kesan kesuburan

Obesiti beri kesan kesuburan

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 12 MEI 2019.**

Oleh Dr. Maiza Binti Tusimin

Laporan Astro Awani pada 9 April lalu menyebut masalah kegemukan dalam kalangan wanita menjadi antara punca masalah kesuburan reproduktif di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain itu masalah lain termasuk hormon, struktural organ dan pemakanan turut menjadi antara punca.

Beliau berkata kesuburan lelaki dan wanita menjadi isu selain faktor obesiti isteri selain kekurangan (sifat) suami antara faktor kelemahan.

Saya berpendapat, masyarakat masih dibelenggu dengan stigma ketidaksuburan yang rata-rata menyalahkan isteri sebagai punca kegagalan untuk menimang cahaya mata.

Apa yang gagal difahami adalah kehamilan melibatkan kedua belah pihak; suami dan isteri, di mana fakta klinikal menyatakan bahawa 30% kes ketidaksuburan adalah disebabkan oleh masalah lelaki, 30% masalah wanita, 30% lagi adalah kombinasi masalah pasangan, manakala 10% diklasifikasikan sebagai tidak diketahui punca (unexplained infertility).

Antara faktor yang mempengaruhi kesuburan pasangan adalah berat badan berlebihan atau obesiti. Laporan ‘Mengatasi Obesiti di ASEAN’  yang merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam oleh Unit Perisikan Ekonomi pada tahun 2017, telah meletakkan Malaysia sebagai juara ‘negara obes’ di Asia Tenggara.

Laporan ini membuktikan bahawa kadar obesiti di Malaysia adalah 13.3% manakala peratusan rakyat yang memiliki berat badan berlebihan adalah 38.5%.

Dalam satu lagi pendedahan, hasil Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) meletakkan Putrajaya sebagai bandar yang mempunyai peratusan tertinggi kes obesiti dan  melaporkan bahawa dua bagi setiap lima penjawat awam di Malaysia mungkin mengalami obesiti.

Kadar obesiti dan berat badan berlebihan telah menyebabkan Malaysia menanggung kos sebanyak RM4.26 bilion dan RM8.53 bilion pada tahun-tahun yang lalu bagi menangani implikasi yang disebabkan oleh obesiti.

 

Implikasi obesiti terhadap lelaki & wanita

Obesiti  adalah penyakit alaf baru  yang mengundang isu kesihatan yang serius, bukan sahaja penyebab pelbagai komplikasi perubatan termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari, kolesterol tinggi, masalah tulang, masalah pernafasan ketika tidur dan kanser.

Malah  obesiti mempunyai kesan negatif terhadap kualiti hidup, kecergasan fizikal, harga diri, seksualiti, kesejahteraan emosi dan sosial dan juga, yang sering dipandang remeh, masalah ketidaksuburan.

American Society for Reproduction (ASRM) melaporkan bahawa lelaki obes lebih cenderung mengalami kecelaruan hormon testosteron. Lemak yang berlebihan menjadi sumber kepada penukaran  androgen, kepada estrogen, dan  menyebabkan tahap testosterone menjadi rendah, kemerosotan kualiti sperma dan seterusnya mengurangkan kesuburan berbanding lelaki dengan berat badan normal.

Kajian menunjukkan lelaki berlebihan berat badan mempunyai paras testosteron 24% lebih rendah berbanding lelaki biasa, manakala lelaki obes mempunyai tahap 26% lebih rendah testosteron.

Kemungkinan ketidaksuburan lelaki meningkat sebanyak 10% untuk setiap 9 kilogram peningkatan berat badan berlebihan seorang lelaki.

Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) juga melaporkan obesiti mengurangkan kualiti air mani yang berkaitan dengan  penurunan kadar spermatogenesis, pembentukan sperma dan morfologi  sperma.

Obesiti  juga dikaitkan dengan masalah ereksi dan kurang aktif dalam melakukan hubungan intim bersama pasangan.

Implikasi obesiti terhadap kesuburan wanita turut mempengaruhi hasil kejayaan pasangan yang melalui rawatan bayi tabung uji atau IVF.

ASRM melaporkan bahawa obesiti dikaitkan dengan penghasilan ovum yang tidak matang, kualiti ovum merundum dan kekurangan respon ovari kepada ubatan IVF.

Wanita perlu peka terhadap Indeks Jisim Tubuh  (BMI)  mereka kerana BMI yang melebihi 30kg/m2 akan mengurangkan 50% peluang untuk hamil bagi wanita yang menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF).

Berdasarkan fakta ini, kebanyakan pusat IVF sama ada kerajaan atau swasta meletakkan BMI di bawah paras 30kg/m2 sebagai syarat utama untuk pasangan mengikuti rawatan IVF.

Wanita juga harus peka bahawa  bagi setiap unit kenaikan BMI melebihi 29kg/m2, kadar kebarangkalian untuk hamil menurun sebanyak 4%. Walau bagaimanapun, pengurangan berat badan secara berperingkat sebanyak 5-10% akan memulihkan kitaran haid wanita  dan meningkat peluang ovulasi secara semulajadi sebanyak 50%.

 

Kesatuan Kesihatan sedunia (WHO) Klasifikasi Obesiti untuk populasi Asia

 

Klasifikasi

 

BMI (kg/m2)

 

Risiko Kesihatan

 

Kurang berat badan

 

<18.5

 

Rendah

 

Julat normal

 

18.5 - 22.9

 

Risiko meningkat tetapi boleh di terima

 

Berlebihan berat badan

 

> 23

 

 

 

Pra-Obes

 

23.0 - 27.4

 

Risiko meningkat dengan ketara

 

Obes 1

 

27.5 - 34.9

 

Risiko tinggi

 

Obes II

 

35.0 - 39.9

 

Risiko sangat tinggi

 

Obes III

 

> 40.0

 

Risiko terlalu tinggi


Segelintir individu yang dikategorikan sebagai obes tahap III mungkin boleh dirawat dengan menjalani pembedahan bariatrik. Namun, tiada jalan pintas bagi mendapatkan berat badan yang sihat selain daripada amalan pemakanan sihat dan modifikasi cara hidup ke arah lebih aktif. 

Mulakan langkah pertama dengan mengubah persepsi minda anda. “Saya ingin dan akan berusaha untuk mendapatkan BMI yang ideal bagi saya”. Bukan untuk kelihatan cantik dan gagah semata-mata, tetapi untuk kesihatan fizikal, mental dan keharmonian rumahtangga.

Adaptasi  Pinggan Sihat Malaysia – ‘suku suku separuh’  dalam kehidupan seharian anda; suku untuk sumber karbohodrat dan bijirin, suku untuk protein dan separuh untuk buah-buahan dan sayuran. Pastikan juga  hidangan anda adalah hidangan rendah lemak, gula dan garam sejajar dengan Panduan Diet Malaysia, 2010.

Sekiranya tuntutan pekerjaan anda menghalang anda untuk bersenam, amalkan 10,000 langkah sehari untuk hidup yang lebih aktif. Gunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi masakini dengan memuat turun aplikasi pedometer dan MyNutriDiari untuk memantau aktiviti dan diet anda.

Dr. Maiza Binti Tusimin

Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi,

Pakar Perubatan Reproduktif &  Infertiliti,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Tarikh Input: 22/10/2019 | Kemaskini: 29/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKWHA2:07:49