| Universiti Putra Malaysia

Lestarikan tanaman durian, rancak industri durian negara

Ringkasan Artikel

Sebut sahaja raja buah sudah pastinya ramai yang akan membayangkan kulitnya yang berduri serta isinya yang berwarna kuning keemasan. Saban tahun durian atau lebih terkenal dengan gelaran raja buah akan sentiasa mendapat sambutan yang tinggi serta bualan hangat daripada masyarakat di negara ini kerana buah tersebut seperti mempunyai ‘penunggunya’ yang tersendiri.

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

 

Sebut sahaja raja buah sudah pastinya ramai yang akan membayangkan kulitnya yang berduri serta isinya yang berwarna kuning keemasan. Saban tahun durian atau lebih terkenal dengan gelaran raja buah akan sentiasa mendapat sambutan yang tinggi serta bualan hangat daripada masyarakat di negara ini kerana buah tersebut seperti mempunyai ‘penunggunya’ yang tersendiri. 

Apabila tiba sahaja musimnya, para peminat durian akan terus berpusu-pusu untuk membelinya tanpa mengira pagi atau malam bahkan terdapat individu yang sedang sakit juga tanpa hirau tetap ingin merasai keenakan seulas durian. Perkara ini jelas menunjukkan buah durian mempunyai ciri tarikannya yang tersendiri serta kepuasan yang tiada tandingan buat para penggemarnya.

Namun, terdapat sesetengah golongan yang tidak menyukai bau dan rasa buah tersebut bergantung kepada penerimaan masing-masing. Di Malaysia, durian digunakan secara meluas dalam industri makanan contohnya penghasilan ais krim, kek, keropok, snek ringan, kaya roti malah dijadikan sebagai manisan tradisional dan moden seperti serawa durian, bubur dan crepe.

Uniknya buah durian ini kerana berjaya merapatkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan kerana kemeriahannya akan dirasai apabila ia dikongsi bersama. Kadang-kala kita juga dapat melihat penduduk di negeri selatan yang sanggup datang ke utara yang melakukan konvoi bersama untuk merasai keenakan raja buah ini. Musim durian inilah yang menyaksikan ahli keluarga berkumpul bersama.

Tambahan lagi, durian menawarkan khasiat serta kebaikan terhadap aspek kesihatan kerana mengandungi komponen berkhasiat iaitu Karotenoid dan Flavonoid yang bersifat anti oksida serta Polifenol yang bertindak sebagai anti radang.

Antara khasiat yang ditawarkan oleh durian ialah membantu penghadaman berikutan kandungan seratnya yang mampu untuk melancarkan pergerakan usus dan penghadaman. Durian yang kaya dengan kandungan zat besi membantu mencegah anemia kerana zat besi merupakan elemen yang paling penting diperlukan untuk pembentukan sel darah merah.

Menariknya, setiap 100g durian menyumbang kira-kira 23.3mg Vitamin C. Ini menunjukkan bahawa durian mempunyai komposis Vitamin C yang tinggi yang mampu mencegah penyakit skurvi (kekurangan Vitamin C) dan meningkatkan sistem imunisasi badan.

Menjadi lumrah setiap yang baik pasti ada sisi buruknya. Oleh itu, pengambilan durian tidak perlu dimakan secara berlebihan dan berpada-pada kandungan karbohidrat yang tinggi dalam buah durian akan menyebabkan kenaikan aras gula dalam darah terutamanya kepada pesakit diabetes. Sekiranya kandungan gula dalam darah tidak terkawal sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia lebih daripada 200 variasi durian yang telah didaftarkan dibawahnya dan Malaysia merupakan negara penghasil durian terbanyak mengatasi Thailand dan Indonesia. Baru-baru ini Jabatan Pertanian Negeri Kedah telah memperkenalkan varieti durian baharu yang dikenali sebagai D216 (J Sparrow) dan D217 (Jerai) yang ditanam di ladang durian di Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong.

Durian yang paling popular serta sering memegang takhta raja buah di negara ini tidak lain dan tidak bukan Musang King dengan kod D197 yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan selain menjadi kegemaran import ke negara China, Amerika Syarikat dan Australia. Permintaannya yang tinggi menjadikan harganya yang lebih mahal.

Umum mengetahui harga durian kini semakin meningkat sehingga membuatkan terdapat kumpulan masyarakat yang tidak mampu untuk membelinya dan hanya mampu menjadi penonton menyaksikan jualan durian di tepi jalan sahaja. Kita sememangnya tidak mahu harga durian terus meningkat memandangkan kini sistem pemasaran telah berubah kepada kaedah timbang berbanding membeli durian secara longgok seperti dahulu kala.

Pengarah Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata perkara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan harga durian terus meningkat ialah memperbanyakkan lagi industri durian dengan menggalakkan penanaman durian.

Potensi penurunan harga durian katanya akan berlaku sekiranya industri durian negara lebih rancak dan membantu masyarakat untuk membelinya kerana harga yang ditetapkan bergantung pada kuantiti penghasilan durian di Malaysia.

Jelasnya lagi, Musang King yang memiliki rasa dan harganya yang premium kadang kala mencecah sehingga RM80 per kilogram perlu diperbanyakkan lagi penanamannya agar ia dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan rakyat di Malaysia juga dapat memilikinya dengan 'harga marhaen'.

Secara logiknya sesuatu barangan itu akan turun harganya apabila kuantitinya banyak dihasilkan namun apabila barangan tersebut memiliki kuantiti yang terhad dan sedikit akan menyebabkan rakyat tidak mampu memilikinya.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga bekerjasama dengan pihak kementerian untuk memperluaskan akses pasaran durian yang berpotensi dengan pelbagai promosi dan kempen kesedaran para pengguna di luar negara. Ia jelas menunjukkan industri durian mampu menjadi sumber kekayaan baharu negara dengan banyak eksport ke pasaran berpotensi tinggi di pelbagai negara asing.

Berdasarkan rekod FAMA, nilai eksport durian pada 2016 ialah sebanyak RM69.9 juta manakala pada 2020 pula telah melepasi RM144.7 juta. Jabatan Pertanian Malaysia menganggarkan pengeluaran durian di negara ini dijangka meningkat kepada 493,397 tan menjelang 2025 ekoran penggunaan teknologi tinggi.

Justeru, kita mengharapkan pengusaha durian menawarkan pelbagai varieti durian atau durian klon seperti durian botak yang akan menjadi produk baharu kepada penggemar durian di negara ini.

Selain itu, perlunya untuk memperbanyakkan penanaman pokok durian yang sering mendapat permintaan dalam dan luar negara agar meningkatkan lagi ekonomi negara di samping ia juga membolehkan petani dan pengusaha mendapat peluang lebih baik pada masa hadapan.

WXETEAl~