| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program cuti sekolah eDU-PARK® SIRI 3: My Blood and I

Oleh: Nurul Naatasah Mohd Yusoff

SERDANG - Program Cuti Sekolah eDU-PARK® merupakan Program yang telah berlangsung bersempena cuti sekolah baru-baru ini bagi mengisi waktu lapang para pelajar disambut baik oleh para ibu bapa mahupun staf UPM.

Penyelaras eDU-PARK®, Dr. Muhammad Zulfadli Mehat berkata program itu adalah aktiviti pengisian bermakna untuk perkembangan psikomotor dan kognitif kanak-kanak dan remaja yang sedang mengalami pengembangan fizikal dan mental.

“Stimulasi pembelajaran berterusan adalah suatu yang amat penting di era industri 4.0 serta dapat memupuk sifat yakin diri dan mesra masyarakat di kalangan kanak-kanak dan remaja yang akan menjadi pemangkin masa hadapan,” katanya.

Seramai 15 orang peserta yang berusia di kalangan 6 tahun sehingga 12 tahun telah menyertai program separuh hari yang bertempat di Muzium Patologi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM.

Penyelaras Muzium Patologi Manusia, FPSK, UPM, Dr Fauzah Abd Ghani berkata pelbagai aktiviti menarik telah disediakan seperti sudut pembelajaran interaktif, pameran organ manusia yang sakit, pameran sudut forensik, dan pameran berkaitan  makmal-makmal patologi.

“Kami turut menyediakan modul pembelajaran sains kesihatan dan perubatan yang menekankan ilmu pengetahuan serta pemahaman tentang patofisiologi manusia seperti modul Hematologi serta memberikan pengenalan mengenai komponen darah, jenis-jenis sel darah putih serta fungsinya,” katanya.

Sementara itu, Siri 1 dan Siri 2 telah dilaksanakan pada cuti sekolah bulan Mac yang lalu di Ladang 10, Fakulti Pertanian dan di Pusat Ekuin UPM.

Pada Siri 3, pihak eDU-PARK® membawa konsep aktiviti yang berkait rapat mengenai kesihatan pada masa kini serta para peserta berpeluang mempelajari mengenai bentuk serta sifat yang ada pada darah. – UPM

SXEUEA3~