| Universiti Putra Malaysia

Sultan Sharafuddin mahu peranan UPM diperkukuh bersama kampus kembar di Bintulu

Oleh: Noor Eszereen Juferi


BINTULU, 1 November – Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Sultan Selangor, Canselor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahukan peranan Universiti Putra Malaysia (UPM) diperkukuhkan bersama kampus kembarnya di Bintulu sejajar dengan hasrat universiti mengembangkan pemindahan teknologi dalam pembangunan wilayah Sarawak.

Baginda bertitah bahawa kerjasama ini diperkukuhkan dengan penubuhan Fakulti Perubatan Veterinar di UPM Kampus Bintulu (UPMKB) bagi memenuhi keperluan Doktor Perubatan Veterinar di kepulauan Borneo.

“Beta percaya melalui peranan UPMKB boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seiring dengan UPM Kampus Serdang sebagai kampus kembar yang strategik dan menjadi Menara Ilmu yang disegani,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang 1 UPMKB, di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB di sini, hari ini.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg atas sokongan dan kepercayaan kepada UPMKB dalam jalinan kerjasama bersama-sama kerajaan negeri untuk membangunkan Negeri Sarawak ke arah Negeri Maju 2030.

Pada majlis konvokesyen hari ini, baginda mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada 405 graduan pelbagai program pengajian.

Tuanku Canselor UPM turut menyampaikan hadiah kepada semua Pemenang Hadiah Universiti iaitu Hadiah Live Animals Medical Centre bagi Graduan Terbaik Ijazah, tajaan Live Animals Medical Centre kepada Aisyah Pratiwi Suryanto Sugian daripada program Bacelor Sains Bioindustri, UPMKB dan Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi (Graduan Terbaik Diploma) kepada Jaime Lazaroo daripada program Diploma Kejuruteraan Pertanian, UPMKB. – UPM

SXEUAAp~