| Universiti Putra Malaysia

Program EHBA beri kesedaran penyakit kardiovaskular warga UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 15 Dis - Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM dengan kerjasama Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama) menganjurkan Program Eat Healthy, Be Active 4.0 (EHBA) bagi menyuntik kesedaran penyakit kardiovaskular buat warga UPM.

Penyakit kardiovaskular (CVD) merupakan penyakit yang melibatkan jantung atau saluran darah yang tidak asing lagi dihidapi oleh masyarakat Malaysia berikutan gaya hidup yang kurang sihat.

Pengarah program, Sarah Iskandar, 21, Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti berkata program ini ialah untuk memberi pendedahan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan mengubah gaya hidup seperti corak pemakanan, aktiviti fizikal dan kualiti tidur.

"Kami bukan semata-mata membuat pameran namun kami turut memberikan peluang kepada setiap pengunjung yang hadir menyertai aktiviti yang telah disediakan termasuk konsultasi pemakanan dan saringan kesihatan penyakit jantung secara percuma.

"Usaha kami untuk memberi pendidikan penyakit kardiovaskular ini turut mendapat penyertaan daripada Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Prudential Assurance Malaysia Bhd dan Nutrition Society of Malaysia (NSM), yang menjadi antara pempamer program ini.

"Saya juga sangat terharu melihat penyertaan yang diberikan oleh warga UPM dan lebih 200 orang telah menghadirkan diri serta menyertai aktiviti yang kami jalankan," katanya.

Menariknya, pihak Hospital Gleneagles Kuala Lumpur turut membawa replika belon jantung yang membantu pengunjung lebih memahami fungsi jantung bekerja dan menjaga kesihatan jantung. -UPM

WXETRAT~