| Universiti Putra Malaysia

Mogesh seimbangkan pengajian PhD dan aktivis sukarelawan  

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari        

 

NEW YORK, 26 Sep - Umum mengetahui menyambung pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bukanlah sesuatu yang mudah dan masing-masing mempunyai perjalanan yang berbeza.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang mahasiswa PhD dalam bidang Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mogesh Sababathy untuk kekal aktif meneruskan minatnya menjadi aktivis belia alam sekitar dalam persidangan Youth4Climate dan Climate Week & UN General Assembly ke-77 (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.   

“Sepanjang persidangan ini saya berkesempatan untuk mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpusat di New York.

“Antaranya perbincangan meja bulat bersama United Nations Development Programme (UNDP) mengenai belia, keamanan dan sekuriti global serta iklim selain mengikuti program-program lain yang berlangsung sempena Climate Week NYC 2022 seperti United Nations Climate Action: Race to Zero and Resilience Forum dan World Biodiversity Summit,” katanya.

Beliau yang menyertai persidang tersebut pada 19 hingga 25 September lalu berkata, persidangan itu bertujuan untuk memberi ruang kepada aktivis-aktivis belia daripada seluruh dunia untuk bertukar pendapat mengenai isu dan inisiatif belia menangani perubahan iklim.

Tambahnya, persidangan ini membuka peluang kepada 150 orang belia daripada sekurang-kurangnya 90 buah negara seluruh dunia bekerjasama dan membina sebuah komuniti belia global yang cakna tentang isu alam sekitar dan perubahan iklim.

“Harapan saya bagi belia Malaysia supaya mereka menjadi lebih cakna tentang isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu memitigasi dan mengadaptasi perubahan iklim.

“Antara caranya meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, penjimatan air dan elektrik, mengelakkan pembaziran makanan dan menyertai organisasi, kempen dan program yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, pada Jun yang lalu beliau turut menyertai Stockholm+50 Youth Assembly dan Persidangan Antarabangsa Stockholm+50 di Sweden yang turut membincangkan isu-isu alam sekitar ke peringkat yang lebih tinggi. – UPM

SXFZDAg~