| Universiti Putra Malaysia

Kembar seiras raih Doktor Perubatan Veterinar

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
 
 
SERDANG, 26 Nov - Sesi 1 Majlis Konvokesyen UPM ke-46 menjadi saksi kegembiraan kembar seiras, Muhammad Hazman Mustaffer,24 (abang) dan Muhammad Hazmi Mustaffer,24 berjaya meraih Doktor Perubatan Veterinar dengan cemerlang.
 
Bercerita tentang perjalanan menuntut ilmu di UPM, Hazmi berkata masing-masing mendapat tawaran di Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPer) UPM dan meneruskan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang sama memandangkan masing-masing mempunyai minat yang sama dalam bidang veterinar.
 
“Selepas Asasi kami memang hendak menjadi seorang doktor haiwan dan rezeki kami berdua dipanggil sekali temu duga dan masing-masing berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang ini.
 
“Kini, kami berdua juga sudah bekerja di klinik haiwan yang sama Furmily Animal Medical Center, Kedah. Saya berasa sangat bersyukur dan gembira atas pencapaian ini” katanya.
 
Menariknya, enam daripada tujuh beradik keluarga ini juga merupakan Alumni UPM termasuklah bapanya, Mustaffer Abdullah yang juga merupakan bekas pelajar Diploma Pertanian UPM.
 
Sementara itu, Hazman meluahkan rasa gembira dapat megharungi cabaran menamatkan pengajian selama lima tahun bersama adik kembarnya.
 
“Terima kasih UPM terutamanya Dekan Fakulti Perubatan Veterinar pada ketika itu Professor Dato’ Dr. Mohd Hair Bejo kerana memberi peluang kepada kami belajar lima tahun di fakulti ini. Banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kami belajar,” katanya. -UPM

WXEQXAN~