| Universiti Putra Malaysia

FASILITI UPM MESRA OKU, LUAH GRADUAN PHD

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Serdang, 23 Mac - Seorang graduan Doktor Falsafah (PhD) Bioteknologi Alam Sekitar, Tan Sock Yin, 32 meluahkan rasa bangga dengan ketersediaan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU Universiti Putra Malaysia (UPM) sepanjang beliau melanjutkan pengajian di UPM.

Beliau yang menghidap Systemic Lupus Erythematosus Overlap Rheumatoid Arthritis sejak berusia 15 tahun berkata UPM merupakan sebuah institusi pengajian yang sangat sesuai kepada golongan OKU sekiranya hendak menyambung pelajaran.

“Saya rasa UPM adalah universiti yang sangat sesuai untuk graduan OKU sebab banyak fasiliti khas yang memudahkan pelajar OKU di sini. Sebagai seorang OKU cacat fizikal saya tidak perlu jauh untuk berjalan kerana tempat letak kereta khas disediakan berhadapan dengan setiap bangunan.

“Selain itu, kebajikan kami juga sentiasa terjaga di bawah unit OKU UPM. Rakan-rakan saya serta penyelia, Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena juga sentiasa membantu saya menyiapkan kajian di dalam makmal,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu menjadi individu pertama membuka tirai menerima skrol PhD dalam Majlis Konvokesyen ke-45 sesi kelima hari ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).

Beliau yang gembira dan bersyukur dengan kejayaannya itu bagaimanapun pernah berfikir untuk berputus asa dengan penggajiannya.

“Namun, sokongan dan nasihat banyak diberikan oleh penyelia saya, para pensyarah dan rakan-rakan membuatkan saya tetap meneruskan PhD ini. Ibu dan adik saya juga turut turun ke lapangan membantu saya untuk mendapatkan sampel. Terima kasih saya ucapkan,” ujarnya. – UPM

WXEaFAm~