| Universiti Putra Malaysia

Dr. Jamali, kongsi membesarkan 11 orang anak-anaknya

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Haron

SERDANG, 18 Jun - Ayah, abah, papa, abi, dan walid merupakan gelaran anak-anak untuk si bapa yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga yang sudah semestinya mempunyai peranan begitu besar dalam membina kebahagiaan sebuah keluarga.

Begitulah tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh ayah kepada 11 orang anak penolong Pendaftar Kanan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Jamali Janib, 54.

"Sepanjang pengalaman saya menjadi seorang ayah buat 11 orang anak, seorang bapa perlu menguasai semua bidang dan ilmu asas rumah tangga seperti memasak, mengemas, menguruskan rumah termasuklah ilmu menguruskan isteri selepas bersalin walaupun kita bekerja.

"Sebagai suami dan ayah perlu bijak membahagikan masa dan kena belajar serta mencuba. Anak-anak akan melihat dan mengikuti tindakan kedua ibu bapanya. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang terbaik dalam membesarkan mereka. Tanggungjawab membesarkan anak-anak perlu digalas bersama si isteri dan tidak hanya diberi pada si ibu semata-mata.

"Kerjasama, tolak ansur, kesefahaman dan kesabaran perlu tinggi dalam diri seorang ayah dalam membesarkan anak-anak dan memastikan mereka berjaya. Saya sentiasa memberi galakkan serta sokongan pada anak-anak menurut minat masing-masing yang sudah pastinya berbeza" katanya.

Dr. Jamali yang juga aktif sebagai Naib Yang Di-pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anaknya pernah merakam detik manis apabila menyampaikan sendiri slip keputusan cemerlang UPSR beberapa anaknya yang memperoleh 5A dalam peperiksaan itu suatu ketika dahulu.

"Pendekatan saya pada setiap anak-anak juga berbeza kerana cara membesarkan dan mendidik anak lelaki dan perempuan sudah tentu berbeza kerana setiap manusia itu ada keunikan yang tersendiri. Jadi saya memang kena kreatif mengolah suasana ceria kerana ada anak yang suka merajuk lama, merajuk pendek, ada yang manja, ada yang melawan dan pelbagai lagi," jelasnya.

Sungguhpun memiliki anak yang ramai beliau tidak pernah culas dalam memberikan kasih-sayang yang sama pada setiap anaknya termasuklah pada anaknya yang telah berkahwin serta mementingkan didikan kerohanian dalam membentuk ikatan kekeluargaan yang kuat.

"Anak saya paling sulung berusia 29 tahun dan bongsu masih sekolah rendah iaitu darjah tiga. Tanggungjawab memberi kasih sayang itu tetap tidak dilepaskan walaupun ada dua orang anak sudah berkahwin dan saya tetap adakan hari keluarga untuk bercuti, berkumpul dan meluangkan masa bersama agar anak-anak berasa seronok dan dihargai.

"Saya juga bercadang untuk membuat perjumpaan dua minggu sekali dengan anak-anak untuk membuat usrah. Jadi, yang jauh kita buat secara maya tujuannya untuk menguatkan kekuatan dalaman sebab cabaran dunia luar memang sangat kuat," katanya.

Beliau tidak pernah menganggap mempunyai anak yang ramai sebagai satu beban atau tekanan malah menganggapnya sebagai suatu nikmat dan rezeki yang perlu dihargai.

"Kita perlu melihat sesuatu perkara dengan positif. Kalau saya jadikan anak ramai sebagai beban, ia akan menghadkan pergerakan saya. Kerencaman adalah satu nikmat yang perlu dihargai," katanya. - UPM

WXFaOAN~