| Universiti Putra Malaysia

CiRNeT julung kali anjur Majlis Townhall bersama CEO industri

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari dan Wan Muhammad Muizzuddin Wan Marzuki

Putrajaya, 16 Ogos - Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT), UPM julung kali menganjurkan Majlis Townhall bersama Ahli Pengurusan UPM dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta peneraju industri tempatan dan antarabangsa bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pelajar dan kakitangan universiti.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Profesor Ir. Dr. B. T. Hang Tuah Baharuddin berkata program itu membolehkan pihak pengurusan universiti mengenali dan menguatkan hubungan antara kedua belah pihak UPM dan industri.

"Majlis ini juga dapat mengukuhkan hubungan antara pengarah urusan dengan fakulti dan institut yang terlibat secara langsung.

"Seramai 29 CEO dari 21 buah industri dan institut telah dilantik serta tempoh latihan mereka adalah selama dua tahun," katanya.

Beliau berkata menerusi pertemuan ini banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan serta tip-tip kejayaan dalam dunia industri bersama pelajar serta kakitangan UPM.

Tambahnya lagi, idea pelaksanaan program ini bersama CEO industri harus diteruskan pada masa akan datang untuk terus menjalin peluang dan kerjasama strategik bersama.

Majlis yang diadakan di Palm Garden Golf Club Ioi Resort City, Putrajaya itu turut melancarkan logo baharu CiRNeT UPM selain taklimat berkenaan Pelan Strategik UPM 2021-2025 kepada rakan industri yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Profesor Madya Dr. Dahlia Zawawi.

Hadir sama, Ketua Penolong Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Jabatan Pengajian Tinggi (BKIM), Raymod Teoh Joo Han, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Pengarah CiRNeT, Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin. – UPM

SXEZAAl~