| Universiti Putra Malaysia

Atuk dua cucu peroleh PHD

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto oleh: Noor Azreen Awang
 
 
SERDANG, 28 November - Hanya kerana minat mendalami ilmu, warga emas berusia 63 tahun dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Agronomi.
 
Lee Kwee Tiong, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Sumber, Khazanah Nasional Berhad menyatakan beliau ingin mengisi masa terluang selepas pencen untuk mencari ilmu kerana sangat bosan dan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
 
“Saya merasakan warga emas macam saya kurang produktif, baik saya pilih untuk menghabiskan pengajian saya keperingkat tertinggi iaitu PhD. Ini kerna ilmu ini tiada penghujungnya dan perlu dicari.
 
“Tidak pernah terlambat untuk seseorang itu menuntut ilmu. Usia bukanlah penghalang kerana ilmu itu akan mengubah gaya hidup seorang manusia,“ katanya.
 
 
Atuk kepada dua cucu ini juga berkata, perjalanan untuk mendapatkan PhD ini bukanlah sesuatu yang mudah dan beliau hampir mengalah dan berhenti separuh jalan.
 
“Berkat daripada sokongan isteri, anak-anak dan penyelia, saya berjaya mendapatkan PhD pada hari ini.
 
“Perancangan selepas dapat PhD, saya ingin meluangkan lebih banyak masa untuk berjalan-jalan melihat negara lain kerana anak-anak semua sudah besar dan impian saya sudah tercapai untuk belajar ke peringkat tertinggi,” katanya. - UPM

SXDdIAi~