
Assalamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim,
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanallahu Wata’ala kerana atas limpah perkenan dan kurnia-Nya, Beta sekali lagi dapat bersama-sama warga Universiti Putra Malaysia sempena Majlis Gemilang Akademia Putra pada hari ini.
Beta mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Insenior Dr. Radin Umar Radin Sohadi selaku Naib Canselor universiti ini atas kesinambungan menerajui kepimpinan universiti ini dalam menunaikan tanggungjawab untuk menjadikannya pusat pendidikan dan penyelidikan yang unggul, yang memberikan sumbangan bukan sahaja kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu, tetapi juga kepada kekayaan dan pembangunan negara.
Beta percaya bahawa wawasan Universiti Putra Malaysia untuk menjadi universiti bertaraf antarabangsa akan tercapai, dan warga universiti ini akan muncul sebagai sebuah komuniti cendekiawan dan intelek yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta menjadi kebanggaan negara kerana sumbangan mereka dalam penulisan dan penemuan yang sentiasa memberikan pengertian baru kepada kemajuan, perkembangan, dan pembangunan negara dan dunia.
Sebagai sebuah institusi pendidikan awam, U.P.M. sentiasa responsif untuk memenuhi aspirasi negara. Dalam hal ini, Beta berasa bangga kerana U.P.M. telah menetapkan bahawa matlamat utamanya adalah untuk menjana graduan yang berkualiti, berdaya saing dan berupaya untuk terus maju melalui pembelajaran yang berterusan. Beta dimaklumkan bahawa beberapa banyak langkah telah dilaksanakan oleh U.P.M. ke arah mencapai matlamat ini. Ini termasuklah peranan U.P.M. bagi menerajui bidang jaminan keselamatan makanan Negara (food security) yang merupakan agenda penting terutama dalam era globalisasi, di mana ia menjadi keperluan strategik negara.
U.P.M. perlu memikirkan bagaimana untuk mewujudkan pembangunan yang mantap atau sustainable development yang bukan sahaja merangkumi kestabilan sumber alam dan persekitaran, tetapi juga kestabilan sosial, ekonomi politik, budaya pembelajaran dan adat yang kaya dengan peradaban yang tinggi. Tanpa mengambil kira aspek yang Beta sebutkan sebentar tadi, negara bakal terjerumus ke dalam kepincangan dan tidak stabil.
Beta berkenan supaya U.P.M. menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang menjadi rujukan dan diteladani oleh masyarakat dan industri dalam mencari yang terbaik dari aspek pembelajaran, penyelidikan dan impak yang diberikan untuk kesejahteraan dan kemakmuran Negara. Untuk itu, kecemerlangan warga U.P.M. yang diraikan pada hari ini wajar diteruskan dengan penampilan hasil berimpak yang diterima oleh masyarakat dan Negara. Setiap komponen U.P.M. wajar digerakkan secara terancang dan berwawasan. Organisasi seumpama U.P.M. berupaya melonjakkan kecemerlangan potensi warganya dan juga Negara, dengan belajar daripada kepincangan generasi terdahulu, menganalisis permasalahan yang timbul serta kesannya berpandukan tradisi pembelajaran yang cemerlang.
Beta berasa bangga dengan pelaksanaan bandar Biomass Serdang yang dilancarkan baru ini dan berhasrat agar ia boleh dijadikan contoh terhadap program berasaskan komuniti yang menghubung jalinkan kepakaran U.P.M. dengan komuniti setempat di samping penglibatan bermakna dari pihak berkuasa tempatan, NGO,dan pelajar . Begitu juga dengan pembangunan Pusat Penyelidikan Sultan Idris Shah di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong yang boleh memelihara warisan sumber semulajadi biodiversiti Negara secara sistematik dan terancang, Penampilan model seumpama ini bakal memperkukuhkan peranan U.P.M. sebagai satu-satunya universiti yang menerajui pendidikan pertanian secara meyeluruh. Sebagaimana yang Beta titahkan, peranan U.P.M. ini selaku Universiti berkepakaran dalam bidang pertanian harus dikekalkan dan ditingkatkan.
Kepada warga U.P.M, Beta berharap agar kesejahteraan dan usaha untuk membawa kecemerlangan universiti ke tahap yang membanggakan akan terus dilaksanakan dengan jujur dan berlandaskan kepada tradisi keilmuan yang cemerlang. Moto Berilmu Berbakti wajar menjadi teras dan fokus keutamaan harus diberikan kepada pengisian pada masa kini dan pembangunan masa depan tanpa mengorbankan prinsip dan teras peranan universiti sebagai pendidik bangsa ke arah kemajuan pencapaian kemajuan yang holistik.
Oleh yang demikian, Beta menggesa agar warga U.P.M. sama ada pensyarah atau pentadbir universiti untuk menjadi contoh atau role model yang diteladani oleh masyarakat dan membimbing mereka kepada peningkatan kualiti hidup cemerlang. Universiti ini harus memberikan panduan dan pedoman yang berguna kepada masyarakat dengan kekuatan pembelajaran.
Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk menyeru dan menasihati pelajar-pelajar Universiti khususnya pelajar di U.P.M. ini agar tidak melibatkan diri di dalam demonstrasi jalanan yang sering berlaku di Negara sejak akhir-akhir ini. Gejala demonstrasi jalanan ini amatlah tidak bersesuaian dengan budaya kita kerana ianya mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat. Umpamanya mereka yang terlibat dalam demonstrasi ini juga secara tidak langsung akan melanggar undang-undang seperti merosakkan harta benda awam, melanggar perintah pihak polis sehingga ada yang berani mencabar dan mencederakan polis. Di samping itu ianya juga akan mendatangkan kesusahan kepada pihak peniaga di kawasan demonstrasi yang terlibat. Adalah menjadi kebiasaan manusia apabila mereka berkumpul secara beramai-ramai dan berarak di bandar-bandaraya, ianya akan mencetuskan huru-hara kerana akan ada yang bertindak mengikut emosi yang tidak terkawal.
Oleh itu Beta tidak berkenan para pelajar U.P.M. melibatkan diri di dalam demonstrasi sebegini yang boleh mendedahkan para pelajar kepada tindakan undang-undang seterusnya tuduhan di mahkamah dan tindakan membuang pelajar. Para pelajar perlu ingat bahawa ibu bapa telah banyak berkorban wang dan masa untuk tujuan menimba ilmu demi mencapai segulung ijazah atau diploma untuk masa depan para pelajar dan keluarga. Para pelajar sepatutnya menumpukan perhatian di dewan kuliah atau di perpustakaan untuk mengulang-kaji pelajaran bersesuaian dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar Universiti. Kita perlu ingat bahawa ramai lagi pelajar yang tidak dapat peluang untuk belajar di Universiti atau di mana-mana institusi pengajian tinggi seperti anda semua. Oleh itu, janganlah dipersia-siakan peluang yang ada ini dan janganlah menghampakan harapan ibu bapa dan keluarga. Pelajar-pelajar semua merupakan aset Negara dan kejayaan para pelajar merupakan kejayaan Negara juga.
Di masa yang sama Beta menyedari tentang hasrat Kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada pelajar Universiti untuk melibatkan diri dengan politik dan berpersatuan demi mendedahkan para pelajar Universiti kepada dunia sebenar di peringkat awal lagi. Namun, Beta menyeru kepada semua pelajar bahawa jika ingin menyertai program-program berbentuk pendedahan kepada dunia politik dan berpersatuan, ianya perlulah dilakukan dengan berhemah dengan mengambil kira kepentingan masyarakat dan mematuhi undang-undang pada setiap masa. Beta berharap peluang yang ada di universiti ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan kapasiti dan potensi diri untuk kemajuan bangsa dan Negara. Jangan terikut-ikut dengan emosi kerana di mana pun anda berada, tingkah-laku dan tindakan anda mencerminkan kewibawaan dan integriti U.P.M. sebagai institusi pendidikan tinggi yang dibanggakan.
Oleh itu, Beta ingin melihat pelajar dan graduan universiti berganding bahu dengan pihak pengurusan untuk membangunkan kecemerlangan universiti secara bersepadu. Sumbangan para alumni turut merupakan elemen signifikan kepada pembangunan universiti dan oleh itu, Beta juga menyeru agar para alumni universiti untuk memainkan peranan sewajarnya bagi mencapai hasrat ini. Inilah masa untuk para alumni menginsafi dan menghargai ilmu pengetahuan yang dipelajari di universiti dan memberikan impak serta sokongan untuk menjadikan UPM lebih cemerlang di dalam dan luar Negara.
Akhir kata, Beta berharap insititusi pendidikan tinggi negara akan menjadi contoh dan sumber rujukan yang digunakan oleh Kerajaan bagi bersama-sama meningkatkan potensi dan kapasiti individu, organisasi, masyarakat dan bangsa di negara ini. Beta mendoakan usaha yang dilaksanakan oleh universiti ini diteruskan dengan sokongan dan anugerah rahmat yang berkekalan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
