| Universiti Putra Malaysia

Pengorbanan dalam hidup adalah sebuah kemerdekaan yang bermakna

Ringkasan Artikel

Masyarakat yang merdeka sentiasa menghayati erti pengorbanan dalam kehidupan. Jika dahulu pejuang kemerdekaan berkorban menentang penjajah, kini semangat pengorbanan tersebut diperlukan untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian yang dihadapi.

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Masyarakat yang merdeka sentiasa menghayati erti pengorbanan dalam kehidupan. Jika dahulu pejuang kemerdekaan berkorban menentang penjajah, kini semangat pengorbanan tersebut diperlukan untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian yang dihadapi.

Segala ujian ini adalah sebuah pengorbanan untuk mencapai kemenangan dan kebebasan daripada dibelenggu kesukaran dan kesulitan. Sebagai seorang pelajar, ianya adalah sebuah perjuangan bagi mereka untuk mengubah jalan hidup dengan pendidikan demi keluarga.

Pengorbanan inilah yang boleh mengubah nasib seseorang melalui pendidikan demi mengubah kehidupan keluarga dari susah kepada senang.

Pelajar tahun kedua, Bachelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Afig Iskandar Adrel, pelajar tahun dua, semester dua terpaksa melakukan tiga pekerjaan sambil belajar untuk melangsungkan kehidupannya sebagai seorang pelajar.

 Muhammad Afig Iskandar Adrel, 
Bachelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian UPM

 

Dua tahun lalu, kehidupan beliau diuji sewaktu pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia apabila ibu dan ayahnya kehilangan pekerjaan dan membuatkan beliau terpaksa membanting tulang untuk membantu keluarganya mencari rezeki dan juga menghadiri kelas dalam talian.

“Apa yang boleh saya katakan, sebagai pelajar yang mempunyai tiga kerja bukanlah suatu perkara yang mudah. Ini membuatkan saya lebih berfikir ke hadapan agar tidak pernah mengalah untuk bekerja demi meneruskan kehidupan,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini bekerja 6 hingga 7 jam sambil membahagikan masanya untuk ke kelas di UPM.

“Pendidikan perlu diutamakan walaupun sedang bekerja. Pada masa depan dengan pendidikan yang diperoleh dan pengalaman yang ada saya ingin menjadi usahawan makanan dan seorang pegawai polis bagi  mengubah nasib keluarga saya, “ katanya.

 

"Pendidikan adalah senjata paling mematikan di dunia, kerana dengan pendidikan, Anda dapat mengubah dunia”. Nelson Mandela.

Dengan pendidikan segalanya boleh diubah dengan usaha yang dilakukan untuk diri sendiri. Namun ianya tidak adil untuk seorang kanak-kanak di luar sana yang dahagakan pendidikan tetapi tidak diberi peluang disebabkan kesempitan hidup.

Sedar akan kepentingan pendidikan boleh mengubah kehidupan, Pelajar Bachelor Pembangunan Manusia dengan Pengurusan UPM, Normarina Misuari Baharodin, 24, tidak mampu berdiam diri melihat bangsanya keciciran dan ketinggalan jauh ke belakang sedangkan semua orang punya hak untuk memperoleh pendidikan.

Normarina Misuari Baharodin, 
Bachelor Pembangunan Manusia dengan Pengurusan UPM

 

Anak jati Rompin, Pahang ini turun padang membantu remaja di tempat kelahirannya itu mendapat pendidikan bagi mengubah masa depan mereka sejak tingkatan lima lagi demi membantu remaja yang keciciran.

“Semasa saya menjadi sukarelawan di Rompin pada pandemik lepas, apa yang saya lihat apabila lima beradik ini terpaksa dibesarkan oleh kakaknya kerana ibu dan ayah dimasukkan ke dalam penjara. Kakak sulung mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menjaga adik-adiknya.

“Segelintir remaja di Rompin, Pahang banyak yang tercicir daripada pelajaran kerana keadaan sekeliling yang membuatkan mereka ketinggalan jauh dan lebih memilih untuk berkahwin daripada bersekolah. Seawal umur 15 tahun mereka telah dikahwinkan dan mempunyai anak.

 “Anak sulung ini memperoleh keputusan 8A dalam SPM, namun disebabkan tanggungjawab beliau terpaksa berkorban kerana siapa yang nak jaga adik-adiknya. Oleh itu, saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belia Pahang bantu adik ini agar dia boleh sambung belajar sama macam remaja seusianya,” katanya.

Normarina sangat berjiwa rakyat dan selalu membantu remaja di Pahang. Oleh sebab itu, beliau telah menerima anugerah Kategori Wanita Perdana Belia Negara (APBN) 2021.  Bukan itu sahaja, beliau juga Penolong Setiausaha Majlis Belia Daerah Rompin dan Naib Presiden Wanita Majlis Belia Negeri Pahang.

Bukan mudah untuk mencapai sebuah impian. Semuanya memerlukan pengorbanan dan usaha untuk mengubah nasib seseorang.

Berlainan pula dengan kisah seorang atlet boling padang UPM, pengorbanan yang dilakukannya bukanlah sesuatu yang mudah bagi pelajar Bachelor Pentadbiran Perniagaan UPM, Mohd Iskandar Zulkarnain Sukardi sejak umurnya 16 tahun.

Mohd Iskandar Zulkarnain Sukardi, 
Bachelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian UPM

“Kembara saya sebagai seorang atlet bermula di sekolah sukan di Johor yang sangat jauh dengan keluarga di Sarawak. Pada usia yang sangat muda dengan rutin latihan sukan bermula seawal pukul 6.30 pagi sehingga pukul 8 pagi setiap hari.

“Bukan latihan sukan sahaja yang ditekankan, namun pelajaran kami juga yang bermula seawal 9 pagi, sehingga 4.30 petang harus ditekankan. Pada pukul 5 pula akan sambung latihan boling padang sehingga senja. Penat lelah belum habis, pukul 8 sehingga 10 malam kena sertai kelas tambahan bersama guru,” katanya.

Tambahnya, walaupun atlet sukan, namun pelajaran juga amatlah penting dan jangan menganggap mereka yang sertai bidang sukan seorang yang kurang pandai. Namun, pendidikan dan sukan perlu seiring untuk menjamin masa depan atlet pada masa hadapan.

 “Saya ingin buktikan kepada semua orang bahawa atlet punya masa depan. Pengorbanan sekarang mengajar saya untuk berusaha dan jangan pernah mengalah bagi mencapai sesuatu dalam sukan dan juga pendidikan untuk mengubah nasib pada masa depan, “ katanya.

Pastinya nikmat keamanan yang dinikmati akan datang adalah hasil perjuangan, pengorbanan dan air mata diri sendiri. Tanpa pengorbanan dan perjuangan kita tidak akan dapat mencapai sesuatu dalam hidup. - UPM

SXDdEAl~