| Universiti Putra Malaysia

Peranan pakar bius haiwan, adakah ia penting?

Ringkasan Artikel

Tahukah anda, doktor pakar bius haiwan adalah insan yang turut serta dalam membantukan menjayakan pembedahan haiwan yang mengalami masalah kesihatan. Sebelum pembedahan dijalankan doktor bius akan dimaklumkan oleh doktor bedah tentang pembedahan yang akan dilakukan, jangka masa pembedahan dan pengurusan pesakit selepas pembedahan.

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Md Nasir Hussin

 

Tahukah anda, doktor pakar bius haiwan adalah insan yang turut serta dalam membantukan menjayakan pembedahan haiwan yang mengalami masalah kesihatan. Sebelum pembedahan dijalankan doktor bius akan dimaklumkan oleh doktor bedah tentang pembedahan yang akan dilakukan, jangka masa pembedahan dan pengurusan pesakit selepas pembedahan.

Peranan pakar bius adalah untuk memudahkan pembedahan haiwan dilakukan untuk menjamin kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan. Ini kerana dalam apa jua pembedahan sama ada kecil atau besar memerlukan pembiusan yang hanya boleh dilakukan pakar bius berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan kesihatan haiwan.

Menurut doktor pakar anestesiologi Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UVH UPM), Prof Madya Dr. Chen Hui Cheng berkongsikan kerjayanya sebagai pakar bius sepanjang berkhidmat di UVH UPM.

“Tanggungjawab sebagai doktor pakar bius sangat berisiko tinggi untuk pembedahan. Di mana sebelum pembedahan untuk menstabilkan pesakit dan meneliti sebarang risiko semasa pembedahan, serta komplikasi yang mungkin berlaku selain merancang kaedah terbaik pembiusan supaya proses pembedahan dapat berjalan lancar.

"Selain peranan dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan keselamatan haiwan selepas pembedahan turut menjadi tanggungjawab pakar bius. Selain itu, kepakaran bius berperanan dalam aspek 'acute pain service' atau perkhidmatan rawatan kesakitan akut sebaik sahaja selepas pembedahan sehingga 48 jam," katanya.

Beliau berkata dengan kepakarannya telah membantu kemajuan UVH UPM dalam menyelesaikan kes-kes pembedahan kompleks dalam bidang pembiusan haiwan yang akan terus berkembang seiring dengan perkembangan kes-kes pembedahan yang baharu dan lebih kompleks.

Sebagai doktor veterinar yang berkhidmat di UPM sejak tahun 1998, pengalaman pertama membius haiwan memang menakutkan dan sangat mencemaskan kerana ianya seperti satu garis halus di antara hidup dan mati haiwan.

“Bagi haiwan seperti kucing dan anjing yang sudah tua, mengalami penyakit jantung, masalah paru-paru akan lebih berisiko mengalami komplikasi oleh haiwan selepas mendapat suntikan bius.

“Sekiranya prosedur dan dos ubat tidak diberikan secara tepat, haiwan tersebut akan mati dan itulah risiko sebagai doktor bius. Namun apabila prosedur ini dilakukan banyak kali barulah kita memahami cara haiwan respon dan tindak balas yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kucing dan anjing merupakan beban kes yang lazim, cabaran kepadanya apabila diminta membius spesis haiwan yang lain kerana kurang kes pembedahan.

“Semasa menjalankan residensi di Kanada, terdapat satu kes kecemasan yang melibatkan seekor kuda menghidap Kolik iaitu kompleks penyakit dengan keparahan yang berbeza-beza pada bahagian perut disebabkan oleh pelbagai faktor.

 “Bayangkan jika manusia yang sedang sakit perut akan berguling-guling, begitu juga dengan kuda. Ianya bukan satu tugas yang mudah kerana pasukan bedah menunggu di bilik bedah untuk membedah haiwan tersebut. Manakala saya dan pasukan lain perlu menenangkan kuda beratnya 750kg untuk dibius dengan dos ubat yang tepat dalam waktu yang singkat untuk mengelakkan komplikasi.

Sementara itu, beliau turut memberi semangat kepada mereka yang bercita-cita ingin menjadi doktor haiwan atau pakar bius haiwan.

“Tidak kira sama ada anda bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan atau pakar bius, teruskan usaha baik anda untuk belajar dan mencapai matlamat yang diingini.

“Ada ketika anda mungkin berasa letih atau terlalu sukar untuk mencapainya, berehatlah sebentar dan bangkit untuk mencapainya. Anda perlu sentiasa bersemangat dan jangan pernah mengalah. Teruskan berusaha untuk mencapai cita-cita yang diidamkan,” katanya. - UPM

WXEUMAK~