| Universiti Putra Malaysia

MEMBUDAYAKAN BIOKOMPOS DALAM MASYARAKAT

Ringkasan Artikel

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) melaporkan bahawa setiap hari rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal dan daripada jumlah itu, kira-kira 44.5% iaitu 17,000 tan adalah sisa makanan. 4,046 tan atau 24% daripada komposisi sisa makanan itu adalah sisa makanan yang boleh dielakkan jika dilaksanakan mengikut strategi pengurusan berpatutan. Sisa makanan yang boleh dielakkan ini diunjurkan dapat diberikan kepada tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.

Oleh: Ts. Dr. Muhammad Heikal Ismail
Felo Bersekutu PSPK, UPM dan
Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan

 

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) melaporkan bahawa setiap hari rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal dan daripada jumlah itu, kira-kira 44.5% iaitu 17,000 tan adalah sisa makanan. 4,046 tan atau 24% daripada komposisi sisa makanan itu adalah sisa makanan yang boleh dielakkan jika dilaksanakan mengikut strategi pengurusan berpatutan. Sisa makanan yang boleh dielakkan ini diunjurkan dapat diberikan kepada tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat telah memperincikan hierarki pemulihan sisa makanan kepada enam aras piramid. Bermula dengan turutan keutamaan daripada pengurangan sumber, bank makanan, makanan haiwan, kegunaan industri, pengkomposan, dan tapak pelupusan. Pelbagai kempen kesedaran telah dilakukan seperti mySAVEfood, #asingkan dan #JomTapau agar pengurangan sumber sisa makanan dapat dilihat.

Meskipun makanan yang diselamatkan dari pasaraya menerusi organisasi seperti Lost Food Project dan Food Bank Malaysia adalah menggalakkan, keperluan tersebut hanya bersasar kepada kumpulan kecil. Manakala inisiatif pemulihan sisa makanan untuk makanan haiwan adalah terhad kerana tertakluk kepada Akta Makanan Haiwan 2009. Sementara permintaan industri dalam penggunaan sisa makanan kepada tenaga menerima sambutan kurang menggalakkan ekoran insentif yang tidak kondusif.

Justeru, trend pembuangan sisa makanan didapati sentiasa meningkat. Ini kerana keberkesanan aras piramid di bahagian atas didorong kuat oleh faktor luaran. Sementara pengkomposan sisa makanan adalah bersandarkan prinsip kelestarian alam yang terdiri daripada beberapa kaedah tertentu tanpa kekangan faktor birokrasi. Antara yang sering diamalkan ialah pengkomposan vermi, pengkomposan windrow, dan tong kompos.

Oleh itu, satu anjakan paradigma untuk membudayakan biokompos dalam masyarakat harus diterajui segera. Pertama sekali, pemahaman masyarakat terhadap kesan buruk hasil penjanaan sisa makanan melalui pembebasan gas karbon dioksida (CO2) dan penggunaan sumber air dengan satu tan sisa makanan menghasilkan 2.5 tan CO2 harus diperkasa. Jika setiap individu dapat menukar satu kilogram (kg) sisa makanan kepada kompos, sebanyak 2.5 kg CO2 kurang dibebaskan dalam membantu pengurangan jejak karbon negara.

Sementara bagi sudut ekonomi, penghasilan satu kg sisa makanan kepada kompos dapat menjana sekurang-kurangnya RM5-RM20 untuk kelangsungan masyarakat. Malah, bio-kompos yang dihasilkan dapat menjamin keselamatan makanan dalam mencipta satu kitaran bio-ekonomi lebih mampan dengan hanya berbekalkan mikroorganisma tanah. Untuk memastikan keberhasilan tersebut, masyarakat harus dibimbing menerusi pemindahan ilmu berterusan sehingga projek mampu didayaupaya secara lestari.

Fakta dan statistik sedia ada dapat menjadi kerangka kepada polisi untuk menangani sisa makanan dengan lebih serius dan perlu melibatkan penyertaan kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan rakyat keseluruhannya. Semoga impian Malaysia dalam mencapai kadar kitar semula sebanyak 40% dapat dicapai pada 2025.

Ts. Dr. Muhammad Heikal Ismail
Felo Bersekutu PSPK, UPM dan
Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan
heikal@upm.edu.my 

WXDdVAy~