| Universiti Putra Malaysia

LINDUNGI PERTANIAN PADI, ELAK BEKALAN BERAS TERPUTUS

Ringkasan Artikel

Di Malaysia, nasi merupakan makanan ruji masyarakatnya berikutan negara ini mengusahakan tanaman padi secara meluas seperti di Kedah, Perlis, Selangor dan Perak. Kebiasaannya kita akan menanam padi sebanyak dua kali setahun.

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Di Malaysia, nasi merupakan makanan ruji masyarakatnya berikutan negara ini mengusahakan tanaman padi secara meluas seperti di Kedah, Perlis, Selangor dan Perak. Kebiasaannya kita akan menanam padi sebanyak dua kali setahun.

Bagaimanapun Malaysia masih bergantung kepada beras import terutamanya dari Vietnam dan Thailand berikutan kita tidak mampu untuk membekalkan permintaan keperluan tahunan beras kepada seluruh rakyat.

Keadaan ini dilihat agak berbahaya andai negara pembekal menamatkan penjualan atau menaikkan harga beras memandangkan kini kebanyakkan harga barangan melambung tinggi. Perang Rusia-Ukraine antara faktor yang menjejaskan sektor import dan mengakibatkan penawaran kurang manakala permintaan tinggi.

Menerusi Dasar Agromakanan negara 2021-2030 (DAN 2.0) sistem makanan negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya tahan terutamanya sebagai persediaan menangani krisis global termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti  berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan  dan keselamatan makanan serta pemakanan.

Justeru itu, kerajaan perlu memastikan kelangsungan stok beras negara sentiasa mencukupi agar negara sentiasa bersedia dalam menghadapi kekurangan bekalannya di pasaran dunia mahupun ketika kenaikan harga beras. Pengeluaran beras dan penanaman padi harus berterusan bagi mengelakkannya daripada terputus atau sukar untuk didapati seperti minyak masak paket bersubsidi ketika negara menghadapi kenaikan harga barangan.

Senario kenaikan harga barangan pada masa kini turut mempengaruhi harga input pertanian seperti baja dan racun perosak yang semakin mahal. Perkara ini menambah kesukaran dan cabaran kepada petani yang mengusahakan penanaman padi di negara ini.

Pada Jun lepas, media melaporkan seramai 80 pesawah di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Kedah kecewa kerana belum menerima bekalan baja subsidi daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedangkan benih padi sudah ditabur sejak April lalu.

Kelewatan ini menimbulkan kebimbangan kepada pesawah kerana ia akan menyebabkan tumbesaran pokok padi terbantut dan menjejaskan pengeluaran musim ini. Selain itu, terdapat juga pesawah yang tidak mampu untuk membeli baja padi di kedai kerana harganya mahal dan meningkatkan lagi kos tanaman padi.

Antara faktor lain yang akan mengurangkan pengeluaran padi negara ialah apabila tanah sawah tergadai digunakan untuk pembangunan bandar dan tidak lagi diusahakan dengan penanaman padi ditambah dengan ancaman kemasukan air laut ke sawah akibat kenaikan paras air laut kesan daripada pemanasan global.

Dalam pada itu, usia pesawah juga semakin meningkat manakala golongan muda pula lebih tertarik kepada pekerjaan di bandar. Memang diakui bahawa kebanyakan golongan muda tidak sanggup untuk membanting tulang di bawah sinaran matahari dan bermandi lumpur di bendang padi. Rata-rata jika dilihat para petani dan pesawah berusia lingkungan 50-an hingga 70-an. Persoalannya adakah pesawah seusia ini masih mampu untuk mengusahakan tanaman padi dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Sudah menjadi asam garam dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan perlu menunggu lama untuk mendapatkan hasil namun hasil yang ditunggu pula tiada. Disebabkan itu, ramai yang memilih untuk beralih kepada tanaman dan industri selain padi yang membawa pulangan lebih tinggi.

Maka, kerajaan Malaysia perlu melakukan sesuatu bagi mengelakkan daripada kawasan sawah padi terjejas sehingga memberi kesan kepada keselamatan makanan. Pensyarah kanan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Firdaus Sulaiman menyarankan agar pewartaan dan pengekalan kawasan jelapang padi yang sedia ada dilakukan bagi mengelakkan tanah sawah bertukar kepada pembangunan.

Selain itu, katanya kerajaan persekutuan perlu membayar pampasan kepada kerajaan negeri yang berjaya mengekalkan kawasan sawah padi. Bagaimanapun, mekanisme ini belum wujud lagi tetapi ia perlu diwujudkan seperti contoh yang sedia ada di peringkat antarabangsa melalui United Nations Framework Convention on Climate Change dan negara-negara yang telah berjaya mengekalkan kawasan hutan dibayar sejumlah pampasan.

Dalam usaha mengurangkan kos pengeluaran serta beban di pihak pesawah ketika keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat kini, kerajaan perlu meningkatkan subsidi input pertanian terutamanya kapur, baja dan racun perosak. Sekiranya perkara ini tidak mampu untuk dibeli oleh pesawah maka mutu serta hasil tuaian padi tidak akan menjadi dengan baik seterusnya memberi kesan kepada bekalan beras negara.

Kita tidak mahu rakyat mengalami krisis yang sama dalam mendapatkan beras sebagaimana kita berdepan bekalan makanan yang tidak cukup di pasaran seperti sukar mendapatkan tepung, minyak masak paket bersubsidi, telur mahupun ayam di pasar raya bahkan mengelakkan harga beras melonjak naik seperti minyak masak dan ayam. Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

SXFZCAa~