| Universiti Putra Malaysia

Kajian benua Antartika memanfaatkan sejagat: Pakar Saintis Polar UPM

Ringkasan Artikel

Benua Antartika dikenali sebagai benua paling sejuk yang terletak di selatan dunia serta diselupi dengan ais serta merupakan benua yang paling sejuk serta suhunya boleh mencecah sehingga −89 °C.

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Benua Antartika dikenali sebagai benua paling sejuk yang terletak di selatan dunia serta diselupi dengan ais serta merupakan benua yang paling sejuk serta suhunya boleh mencecah  sehingga −89 °C.

Sungguhpun begitu, benua tersebut mempunyai keistimewaannya yang tersendiri serta keunikan biodiverstinya telah menarik pelbagai penyelidik di dunia untuk menerokai ekosistem serta dikatakan lokasi yang ideal untuk mengukur penyebaran bahan pencemar global.

Pakar Saintis Polar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad berkata benua itu adalah salah satu-satunya tempat paling bersih serta kurang tercemar di bumi bersesuaian untuk menggunakan teknologi penyelidikan beliau.

“Bidang kepakaran saya menjurus kepada teknologi hijau khususnya dalam ‘Bioteknologi Alam Sekitar’ dan motivasi utama saya adalah untuk menggunakan teknologi bioremediasi untuk mengatasi masalah pencemaran di dunia,” katanya.

Tambah beliau, harapannya melalui aplikasi teknik tersebut dapat melindungi alam sekitar serta menghalang daripada berlakunya pencemaran yang berlarutan. 

“Penglibatan saya dalam penyelidikan sains polar dapat memberi impak dan manfaat pada masyarakat dan negara melalui pengumpulan data-data saintifik polar yang akan menyumbang kepada proses-proses pembuatan dasar,” katanya.

Prof. Madya Dr. Siti Aqlima yang juga pensyarah di Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM berkata benua Antartika adalah unik kerana ia tidak mempunyai penduduk asli disebabkan iklim ekstrem serta tidak sesuai untuk menyara kehidupan manusia untuk jangka masa yang berterusan.

Katanya, kajian alam sekitar dan kesan perubahan iklim adalah satu isu yang berlarutan yang kini tidak boleh nafikan serta diabaikan.

Prof. Madya Dr. Aqlima turut kongsikan permulaan beliau berkecimpung dalam bidang penyelidikan sains polar iaitu ketika beliau menjalankan kajian Masters dibawah seliaan utama Profesor Emeritus Dr. Nor Aripin Shamaan pada tahun 2005.

“Minat saya menjadi lebih mendalam setelah saya memulakan kerjaya sebagai pensyarah dan pada masa yang sama mentor penyelidikan saya iaitu Prof. Dr. Mohd Arif Syed telah mendorong saya untuk menumpukan perhatian dalam bidang ini.

“Pada ketika itu kajian alam sekitar serta kesan perubahan iklim merupakan suatu bidang yang sangat berkembang pesat dalam kajian saintifik polar terutamanya Antartika,” katanya.

Prof. Madya Dr. Aqlima yang merupakan anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur berpandangan bidang penyelidikan sains adalah sangat kritikal untuk membantu dalam mengemudi perubahan dunia dan tanpanya masyarakat hanya akan bergantung kepada pendapat individu yang tidak berasakan kajian.

“Penyelidikan sains secara sistematik adalah penting bagi menghimpunkan pemerhatian, pengetahuan serta data untuk menyelesaikan permasalahan dan membangunkan produk baharu.

“Melalui sains aplikasi teori abstrak dapat dilakukan bagi memberikan maklumat yang lebih tepat kepada penggunaan partikal untuk individu, industri dan negara,” katanya.

Beliau juga berpendapat UPM berkebolehan untuk merintis dan menerajui bidang sains di Malaysia. Ini telah dibuktikan apabila UPM mencapai tangga ke-2 dalam QS Asia University Rankings 2023.

“Harapan saya penyelidikan sains di negara ini khususnya UPM akan terus berkembang dan maju di peringkat global agar seluruh dunia mengetahui bahawa penyelidikan sains Malaysia setanding dan mampu bersaing dalam penglibatan dan penyelidikan di mata dunia,” katanya.

Beliau sebelum ini telah menerima Pingat Saintis Muda Polar pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Kesepuluh Penubuhan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) pada Oktober 2022. - UPM

WXEQTAs~