| Universiti Putra Malaysia

Impak Terhadap Kesuburan Kesan Fisiologi Puasa

Ringkasan Artikel

Puasa bukan sahaja satu ibadah, malahan lebih tepat lagi ia adalah satu cara hidup Islam yang menzahirkan ‘kesihatan’ sebagai lebih daripada sekadar fizikal tubuh, malah kesejahteraan rohani dan mental yang stabil, sahsiah dan perwatakan yang baik, serta hubungan sesama insan.

Oleh Dr. Maiza Binti Tusimin

Ramadan Mubarak  baru sahaja melabuhkan tirai diikuti dengan  kehadiran Syawal yang disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam. Namun begitu, azimat menjalankan ibadah berpuasa tidak berakhir di situ malah impaknya masih kuat terasa sepanjang tahun.

Puasa bukan sahaja satu ibadah, malahan lebih tepat lagi ia adalah satu cara hidup Islam yang menzahirkan ‘kesihatan’ sebagai lebih daripada sekadar fizikal tubuh, malah kesejahteraan rohani dan mental yang stabil, sahsiah dan  perwatakan yang baik, serta hubungan sesama insan.

Istimewanya puasa, ia bukan sahaja terbukti secara saintifik baik untuk kesihatan fizikal, malah ia memperbaiki  gaya hidup, perwatakan dan pola pemakanan harian lantas mengoptimumkan tahap kesihatan pengamalnya.

 

Keajaiban fisiologi puasa

Adalah menakjubkan untuk menerokai perubahan yang berlaku dalam tubuh semasa berpuasa dan bagaimana tubuh beradaptasi dengan perubahan fisiologi ketika berpuasa. Pola pemakanan berubah apabila puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, di mana pengambilan makanan yang berpatutan ketika sahur adalah mencukupi untuk bekalan tenaga pada waktu siang hingga ke senja.

Pengkaji Islam menerusi kitab At Tib Fil Quranil Karim menyatakan bahawa puasa memberi peluang kepada tubuh untuk ‘reboot’ atau mengemaskinikan sistem pencernaan agar dapat berfungsi semula dengan lebih baik. Ini memberikan sistem pencernaan tubuh satu ruang peralihan yang progresif daripada penggunaan glukosa lalu beralih kepada lemak sebagai sumber tenaga utama.

Penggunaan lemak sebagai sumber tenaga mengurangkan berat badan, memelihara otot, dan dalam masa yang sama turut mengurangkan kadar kolesterol tubuh. Penurunan berat badan secara berkala turut menyumbang kepada kawalan paras gula dalam darah bagi pesakit diabetes dan mengurangkan tekanan darah bagi pesakit darah tinggi.

Puasa turut melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan dan proses detoksifikasi di mana toksin yang disimpan dalam lemak badan akan  dibubarkan dan dinyahsingkirkan dari badan.

 

Keajaiban puasa dari perspektif kesuburan

Bagi pasangan yang telah mencuba untuk hamil melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF) dengan pelbagai penggunaan ubatan namun masih menemui jalan buntu,  puasa mungkin dapat membantu meningkatkan hasil kejayan IVF.

Sekumpulan pakar Perubatan Reproduktif dan Endokrinologi dari Abu Dhabi berpendapat berpuasa sebelum menjalani rawatan IVF mampu  menyingkirkan hormon berlebihan atau sintetik, membersihkan hati, mengalkalikan  aliran darah dan mengemaskini semula proses hormon semula jadi tubuh.

Proses ini turut menyingkirkan  toksin dari sel-sel, hormon-hormon akan diimbangi semula, manakala hati memetabolismakan hormon yang berlebihan seperti kortisol iaitu ‘hormon stres’ yang boleh mengakibatkan keradangan, keletihan dan disfungsi sel.

 

Kesuburan Lelaki

Dari perspektif kesuburan lelaki, terdapat beberapa laporan klinikal yang memberikan input positif berkaitan impak puasa terhadap kesuburan.  Puasa membantu meningkatkan jumlah kuantiti sperma, meningkatkan paras hormon gonadotropik  dan hormon testosteron lelaki.

Walaupun puasa tidak dapat memperbaiki keadaan pesakit yang mengalami ketiadaan sperma dalam air mani (azoospermia) tetapi puasa kelihatan mempunyai sedikit kesan ke atas pesakit yang mengalami masalah kuantiti sperma yang rendah (oligozoospermia).

Puasa memberi impak yang baik kepada proses penghasilan sperma atau spermatogenesis, sama ada melalui  tindakbalas kepada hormon daripada kelenjar hipotalamus-pituitari-testis atau dengan kesan langsung terhadap testis dan ini secara tidak langsung meningkat peluang pasangan untuk hamil.

 

Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Amalan berpuasa mampu menyediakan remedi terbaik buat mereka yang mengalami Sindrom Polisistik Ovari dan masalah obesiti. Umum mengetahui bahawa PCOS adalah penyakit genetik yang berhubungkait dengan kerintangan insulin.

Pelbagai kajian saintifik telah merungkaikan bahawa kadar kerintangan insulin menurun dan paras insulin menjadi lebih terkawal ketika berpuasa. Bilamana paras insulin terkawal, hormon testosteron juga akan kurang dirembeskan oleh ovari dan  sebaliknya hormon wanita akan lebih mendominasi lantas  meningkat peluang pesakit PCOS untuk hamil.

Para saintis klinikal berpendapat antara proses adaptasi yang berlaku ketika puasa yang membantu meningkat peluang untuk hamil adalah :  (1) penurunan paras kolesterol yang turut  membantu pengawalan berat badan  (2) PCOS dikaitkan dengan masalah inflamasi yang kronik yang mengganggu keseimbangan insulin dan menjurus kepada ketidaksuburan; puasa mengurangkan proses inflamasi tubuh  dan seterusnya menyebabkan paras insulin turut menurun.

Walaupun pelbagai kebaikan puasa telah dibuktikan oleh kajian klinikal, mereka yang menghidapi penyakit kronik masih perlu mendapatkan nasihat dari pakar perubatan. Anda tidak perlu memaksa diri untuk berpuasa sehingga mengakibatkan kemudaratan selaras dengan ajaran Islam yang digariskan, dengan jelas dalam ‘Panduan Berpuasa Bagi Pesakit’ yang disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Ringkasnya, berpuasa bukan sekadar satu anjakan paradigma malah ianya satu peluang yang cukup baik untuk mengadaptasi kembali gaya hidup sihat dan seimbang dalam norma kehidupan harian anda. Ia juga melatih dan membentuk jatidiri untuk lebih berdisiplin dan komited.  Jangan sia-siakan kejayaan berpuasa di siang hari dengan berbuka 'tanpa batasan' di malam hari. Kawal diri, kawal hati dan kawal kalori!

 

Dr. Maiza Binti Tusimin
Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi,
Pakar Perubatan Reproduktif &  Infertiliti,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia (UPM)
maiza@upm.edu.my

 

SXDdEA~