| Universiti Putra Malaysia

Kepakaran botani pertanian perlu diperluas dalam sektor pertanian negara

Ringkasan Artikel

Kerjaya bidang botani pertanian bukanlah sesuatu yang popular untuk negara ini dan mungkin masyarakat merasakan kerjaya tersebut hanya mempunyai fungsi yang terhad. Tetapi tahukah anda dalam memajukan sektor pertanian peranan botani pertanian adalah antara elemen penting dalam memastikan sektor tanaman negara mempunyai kepelbagaian tanaman berpotensi dan varieti tanaman yang terbaik.

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Saleha Haron

Kerjaya bidang botani pertanian bukanlah sesuatu yang popular untuk negara ini dan mungkin masyarakat merasakan kerjaya tersebut hanya mempunyai fungsi yang terhad. Tetapi tahukah anda dalam memajukan sektor pertanian peranan botani pertanian adalah antara elemen penting dalam memastikan sektor tanaman negara mempunyai kepelbagaian tanaman berpotensi dan varieti tanaman yang terbaik. 

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Firdaus Ismail berkata bidang botani adalah salah satu cabang pengajian pertanian dalam mempelajari aspek biologi sesuatu tumbuhan bagi mengkaji pengelasan, penngecaman, struktur dan fungsi kehidupan tumbuhan untuk mencari tanaman alternatif berpotensi tinggi serta baka terbaik untuk didomestikasi dan dikomersilkan dalam usaha menjamin sekuriti makanan.

“Mencari tanaman alternatif yang boleh memainkan peranan menjamin sekuriti makanan dan penghasilan sumber pendapatan adalah antara tugas botani pertanian dengan mengenalpasti serta mengesahkan baka yang bersesuaian bagi memastikan sesuatu tanaman itu mempunyai potensi di masa depan,” katanya.

Tambah beliau, sektor pendidikan tinggi negara sedang berusaha menghasilkan graduan yang kalis masa hadapan maka bidang botani pertanian juga berperanan untuk mengetengahkan tanaman yang kalis masa hadapan untuk sektor pertanian negara.

“Ini bagi menjamin kelestarian pengeluaran pertanian mendepani pelbagaian cabaran seperti kejatuhan harga komoditi, pertambahan populasi, kekurangan kawasan penanaman yang sesuai, kerentanan penyakit, penggunaan air, kos input pertanian yang meningkat, kekurangan buruh, selera pengguna serta perubahan iklim dunia,” katanya.  

Tambah beliau, menariknya mengenai kerjaya botani pertanian adalah apabila berlakunya isu-isu polemik tanaman seperti kesalahfahaman terhadap fungsi serta risiko tanaman tertentu antaranya isu kebimbangan masyarakat terhadap tanaman hiasan tertentu yang ditanam didalam rumah atau isu kesesuaian sesuatu tanaman dikawasan tertentu seperti ditempat awam yang dikatakan boleh membawa risiko bahaya kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, keghairahan sesetengah pihak untuk membawa masuk pelbagai jenis tumbuhan yang baharu ke negara kita juga kadangkala menimbulkan pelbagai risiko dan isu dari sudut kesesuaian dan penyakit berkaitan tanaman dan ini memerlukan penilaian yang mendalam serta menyeluruh dari sudut botani pertanian supaya tanaman yang dibawa masuk memberi hasil yang lumayan kepada negara dan bukannya mengancam industri tanaman sedia ada.Ini membuatkan beliau kerap kali tampil di dada akhbar dan media untuk memberi penjelasan ilmiah dari sudut akademik berkaitan isu-isu berkaitan tumbuhan.

Dr. Firdaus yang juga merupakan alumni UPM berkongsi pandangan peribadi beliau mengenai bidang berkaitan tumbuhan adalah sesuatu yang ‘romantik’.

“Walaupun bidang tersebut adalah dalam kategori bidang Sains, ianya sebenarnya berseni. Pengajian dalam kursus botani pertanian memerlukan saya melakukan pemerhatian yang teliti, merekod serta megilustrasi tanaman supaya sesuatu tanaman itu dapat dikenalpasti dan dilakukan deskripsi yang lengkap,” katanya.

Katanya, pengalaman beliau ketika melaksanakan projek kajian doktor falsafah (PhD) berkaitan ekologi pendebungaan memerlukan beliau melakukan pemerhatian yang mendalam tentang interaksi antara sesuatu tumbuhan dengan persekitarannya secara semulajadi telah membuka mata beliau tentang keindahan dunia tumbuh-tumbuhan.

“Botani pertanian adalah suatu bidang yang sangat menarik untuk didalami kerana ia membolehkan kita untuk melihat keindahan spesis tumbuhan serta potensi yang ada bukan hanya memandang tumbuhan sebagai entity pegun yang membosankan serta ilmu botani pertanian pastinya akan membuatkan seseorang menjadi lebih dekat dengan alam dan menjiwai keindahan ciptaan Tuhan,” katanya.

Selain itu, mempelajari botani pertanian akan membuatkan kita lebih optimum dalam mengurus dan mengekploitasi spesis tumbuhan yang ada untuk mendapatkan hasil yang lumayan dan kegunaan yang tepat.

Ilmu dan pengetahuan botani pertanian juga mampu memberi kefahaman yang betul serta mengelakkan kekeliruan serta salah faham terhadap spesis tumbuh-tumbuhan yang ada bak kata petatah ‘tak kenal maka tak cinta’

“Kita sebagai warga Malaysia telah dianugerahkan bumi bertuah yang kaya dengan kepelbagaian spesis flora dan fauna hingga dinobatkan antara negara terkaya dari sudut biodiversiti maka sangatlah wajar untuk mengenal, mengetahui dan menghargai khazanah alami negara yang terhidang,” katanya.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berkata masih ramai merasakan bahawa program pertanian adalah ‘program lelong’ walhal ianya satu pengajian penting yang perlu dikekalkan demi kesinambungan kemajuan pertanian negara.

“UPM bagi saya adalah sebuah institusi pengajian yang unggul dalam bidang pertanian kerana mempunyai kelengkapan fasiliti dan kemudahan yang lengkap serta tenaga pengajar di Fakulti Pertanian mempunyai kepelbagaian bidang serta pengalaman dari dalam dan luar negara,” katanya. 

Beliau terlibat menjalankan projek Children and Sensory Garden iaitu sebuah taman yang berkonsepkan taman untuk kanak-kanak serta taman deria yang diilhamkan oleh DYMM Tuanku Canselor UPM.

Katanya taman itu yang bertemakan ‘Temasya’ diinspirasikan daripada Bandar Temasya yang telah dikenali sebagai Bandar Diraja selepas Perang Kelang pada 1867 serta memainkan peranan yang penting di dalam perkembangan politik dan Negeri Selangor.

“Rekabentuk taman ini untuk menjadi satu-satunya taman seumpamanya di Malaysia dan sebagai salah satu tempat menarik untuk menjadikan UPM sebagai destinasi edu-pelancongan dengan kaedah santai kepada orang ramai melalui penerokaan taman ini,” katanya.

Susun atur Children and Sensory Garden ini adalah terdiri daripada beberapa komponen utama iaitu Taman Sentuhan (Touch Garden) yang berteraskan elemen Taman Batuan (Rock Garden), Taman Rasa (Taste Garden) yang berteraskan elemen tanam dapur, taman rempah ratus dan taman makanan, Taman Bauan (Smell Garden) yang berteraskan taman matahari (sun garden) yang terdiri daripada bungaan berwarna merah dan kuning serta Taman Bunyian (Sound Garden) yang berteraskan penggunaan elemen air dan angin untuk menghasilkan bunyian yang dikumpulkan dalam kawasan seluas 7 ekar.

Selain itu, bidang botani pertanian juga telah membawa Dr. Firdaus untuk mengembangkan karier dan kepakaran beliau dengan diberikan beberapa tanggungjawab sepanjang perhidmatan beliau seperti menjadi penyelaras Unit Biodiversiti, Institut Biosains selama lebih kurang 5 tahun yang dibawahnya terdapat makmal herbarium, makmal tisu kultur tumbuhan, makmal pengektrakan minyak pati, nurseri tumbuhan dan ladang serta Taman Konservatori UPM.

Semangat Dr Firdaus untuk mengembangkan minat terhadap botani pertanian telah melahirkan suatu program kreatif melalui aktiviti pelajar di dalam kursus botani pertanian iaitu penganjuran pameran terrarium dan taman mini pada tahun 2015 yang kemudiannya berkembang menjadi Festival Vivarium. Program tersebut telah mendedahkan dan mendekatkan Dr Firdaus dengan aktiviti pembangunan pelajar sehingga pernah dilantik menjadi penasihat Kelab Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian UPM dari tahun 2015 hingga 2020.

Pengalaman terlibat dengan aktiviti pembangunan pelajar ini akhirnya membawa Dr. Firdaus untuk lebih menerokai program pembangunan pelajar dengan menjadi Felo Kolej Kediaman UPM bermula di Kolej Mohamad Rashid dan kemudiannya di Kolej Tan Sri Aishah Ghani (dahulunya dikenali sebagai Kolej 13) selama lebih dari 5 tahun sebelum dilantik menjadi pengetua kolej Empat Belas merangkap setiausaha Jemaah Pengetua Kolej Kediaman UPM bermula Februari 2022 hingga kini.

Minat Dr Firdaus terhadap botani pertanian terserlah dalam penulisan akademik berbentuk journal dan artikel dalam botani pertanian selain terlibat dalam penulisan beberapa buku berkaitan tumbuhan sebagai penulis bersama dan jurufoto seperti Glorious Lanscape Plants in Selangor terbitan Penerbit UPM pada tahun 2016 yang merupakan satu lagi ilham daripada Tuanku Canselor UPM dan buku Ulam-ulaman Khazanah Negara & 1001 khasiat terbitan Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) yang dilancarkan oleh YMM Raja Permaisuri Agong pada tahun 2019 serta sebagai penulis bersama bagi buku Scientific Evidence: Malaysian Medicinal Plants with Wound Healing Properties yang diterbitkan oleh Penerbit UPM pada 2021 dan telah memenangi Anugerah Buku Negara 2022 bagi kategori buku sains dan teknologi terbaik.

Pada 2015, Dr Firdaus pernah menyertai Pameran Hasil Alam dan Keajaiban Seni 2015 bertemakan burung (Nyawa 2015: Burung) di Galeri Serdang UPM dengan menghasilkan artifak berbentuk loket dan penulisan artikel pendek bertajuk Lovebirds sebagai tanda kecintaan beliau terhadap bidang biodiversiti dan alam semulajadi.

Kepentingan dan minat terhadap bidang botani pertanian dapat dilihat dalam penyelidikan yang dijalankan oleh Dr Firdaus seperti projek menilai potensi pelbagai jenis tanaman dalam famili halia, kajian pendebungaan durian, kajian tanaman herba mandian serta beberapa projek penyelidikan lain yang melibatkan penilaian potensi dan diversiti tanaman.  Kajian yang dijalankan bessama dengan pasukan peneylidikan beliau telah melahirkan beberapa orang pelajar Master dalam bidang agronomi dengan memfokuskan kepada aspek diversiti dan kaedah botani pertanian.

Selain itu Dr. Firdaus juga terlibat didalam beberapa projek komuniti dan jaringan industri antaranya projek Tanaman Aromatik Untuk Komuniti dengan Kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia di Daerah Gombak dari tahun 2018 hingga 2021 dan Sepang pada tahun 2019 hingga 2020. - UPM

WXDdUAa~