Program Green Voice 2015 Pupuk Amalan Hijau, Kitar Semula Di Kalangan Pelajar | Universiti Putra Malaysia
Program Green Voice 2015 pupuk amalan hijau, kitar semula di kalangan pelajar

Oleh Dr Roziah Mohd Rasdi



SERDANG, 2 Jun – Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Green Voice 2015 sebagai inisiatif memupuk amalan hijau dan kitar semula di kalangan pelajar, baru-baru ini.

Ketua program, Dr. Roziah Mohd Rasdi berkata projek itu adalah dengan kerjasama 60 pelajar dari Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, FPP yang berlangsung selama tiga minggu untuk menjayakan konsep “Go Green” yang diwujudkan oleh universiti.

"Program ini melibatkan mahasiswa di kolej kediaman lembah seperti Kolej Kedua, Kolej Cancelor, Kolej Keenam, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej Kelima, Kolej Tun Perak dan Kolej Pendeta Za‘ba.



“Antara aktiviti utama yang dijalankan sepanjang tempoh tiga minggu itu ialah Campus Hour, pertandingan mengumpul barangan kitar semula dan Explorace yang bertemakan konsep amalan hijau,” katanya.

Program itu mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Fakulti Pengajian Pendidikan, Persatuan Pelajar Pembangunan Sumber Manusia (PESUMA), Jawatankuasa Alam Sekitar UPM, pengetua, pengurus dan ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej UPM.

Beliau berkata program seumpama itu perlu diteruskan pada masa depan serta ditambah baik dengan aktiviti yang lebih informatif bagi meningkatkan tahap kesedaran dan amalan hijau di kalangan warga kampus, yang masih berada di tahap yang rendah.

“Ini dapat memberi kesedaran di kalangan pelajar kolej kediaman dalam membudayakan kitar semula serta memberi peluang kepada pelajar kolej kediaman lembah melibatkan diri secara aktif dalam program seperti itu,” katanya.

Sementara itu, pertandingan mengumpul barangan kitar semula dan Explorace, dimenangi kedua-duanya oleh Kolej Kedua, UPM. - UPM


Updated:: [amir_peli]

AACSB International SIRIM UKAS