| Universiti Putra Malaysia

UPM HOS PROGRAM JOM MASUK U ZON TENGAH II TAHUN 2024

 

 

SERDANG, 29 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi hos Program Jom Masuk U Zon Tengah II Tahun 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan diadakan pada 11 hingga 12 Mei 2024 di Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Penganjuran program itu bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Jom Masuk U 2024 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM dan Diploma/Setaraf.

Penganjuran program ini juga adalah selaras dengan tempoh permohonan UPU Online Fasa 2 yang kini dibuka sehingga 9 Jun 2024.

Selain itu, Program Jom Masuk U merupakan acara perdana (flagship) tahunan KPT berbentuk pameran berskala nasional bagi mempromosi maklumat pendidikan tinggi kepada pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat di sekitar negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan yang dijangka menerima kehadiran 10,000 pengunjung bagi tempoh dua hari pameran tersebut.

Menariknya, Jom Masuk U di UPM pada kali ini turut dibuka kepada pelajar-pelajar antarabangsa di sekolah antarabangsa dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha mempromosi program pengajian pra dan pascasiswazah di Malaysia kepada kumpulan pelajar antarabangsa ini.

Selain pameran pendidikan membabitkan lebih 70 institusi, program ini juga akan mengadakan slot Bicara Santai Alumni menampilkan alumni UPM yang bergelar petani moden dan usahawan industri makanan berjaya antaranya alumni Fakulti Pertanian, UPM, Amirul Haris Asrar yang kini pengusaha ladang ternakan dan makanan serta Sabrie Salleh yang merupakan pengasas jenama Burger Bakar Abang Burn.

Slot itu juga akan melibatkan nama besar yang juga merupakan alumni UPM antaranya atlet kebangsaan iaitu bekas ratu terjun negara, Dato' Leong Mun Yee dan bekas jaguh dekatlon Asia, Malik Tobias serta perkongsian oleh alumni selebriti, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTV 7 dan Radio Media Prima, Seelan Paul dan hos Astro Arena, Azlan Mubin.

Dalam pada itu, pakej istimewa Edu-Park UPM turut ditawarkan kepada pengunjung yang berminat untuk melawat tarikan di UPM seperti Muzium Warisan Melayu, Taman Herba, Muzium Anatomi Manusia dan Haiwan serta lain-lain lagi.

Pelajar sekolah yang hadir ke Jom Masuk U Zon Tengah II 2024 turut akan merasai suasana kampus melalui lawatan ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM serta lokasi-lokasi menarik di kampus hijau UPM.

SXFUOAZ~