Kerjaya Ibu Bapa Cetus Minat Wan Nur Adeeba Terhadap Sains | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Kerjaya ibu bapa cetus minat Wan Nur Adeeba terhadap sains

Kerjaya ibu bapa cetus minat Wan Nur Adeeba terhadap sains

Oleh Muhamad Afiq Ab Latif

SERDANG, 6 Nov – Kerjaya yang diceburi oleh ibu bapa membuatkan Wan Nur Adeeba Ramlan meminati sains seterusnya mengikuti pengajian bidang berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga beliau memperoleh Bacelor Sains (Kepujian) Biokimia.

Bapanya Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) dan kini pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas),   manakala ibunya Datin Dr. Nasibah Mohamad Ali adalah Doktor Perubatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UPM.

Wan Nur Adeeba, 23, berkata kerjaya yang disertai kedua ibu bapanya menarik minat beliau terhadap bidang sains, khususnya biokimia.

“Mereka bekerja keras untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa untuk anak-anak. Sejak kecil, saya tengok ibu bapa saya bekerja kuat untuk membesarkan lima anak… ini menjadi motivasi dan mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-41 di sini.

Katanya, kedua ibu bapanya selalu berpesan supaya ikhlas dalam menuntut ilmu serta tidak leka atau mengambil mudah pelajaran.

“Walaupun mungkin tidak menjadi doktor seperti kedua-dua mereka, saya bersyukur kerana mendapat keputusan yang baik,” katanya. 

Katanya, beliau berasa selesa mengikuti pengajian program Bacelor Sains di UPM lebih-lebih lagi kerana ibunya juga bertugas di universiti yang sama.- UPM

 

 

Updated:: 08/11/2017 [syifarida]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511362279