| Universiti Putra Malaysia

UPM RANGKUL JUARA KESELURUHAN KALI KETIGA SUKIPT 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari dan Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto: Izrul Abdul Jabar

TANJUNG MALIM, 21 Ogos- Universiti Putra Malaysia (UPM) buat kali ketiga meraih takhta juara keseluruhan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bermula 12 hingga 21 Ogos, hari ini.

Kejayaan meraih 38 emas, 19 perak dan 20 gangsa membolehkan UPM menjadi juara bertahan keseluruhan SUKIPT mengulangi kejayaan yang sama pada 2012 dan 2018.

Dalam pada itu, UPM turut melakar kemanisan apabila pasukan Ragbi lelaki meraih anugerah pasukan lelaki terbaik keseluruhan dan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan piala pusingan.

Naib Canselor UPM, YH. Prof. Dato Dr. Mohd Roslan Sulaiman bersyukur apabila UPM dinobatkan sebagai johan keseluruhan SUKIPT 2022.

“Ini adalah kali ketiga UPM telah dinobatkan johan keseluruhan SUKIPT pada tahun 2012, 2018 dan 2022.

“Saya sangat gembira dengan usaha atlet dan pegawai UPM yang berusaha untuk mendapat johan keseluruhan SUKIPT 2022 . Pihak UPM juga akan terus berusaha memperkasakan sukan yang terlibat bagi mengekalkan kejuaraan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman berkata pihaknya akan membuat program penghargaan kepada atlet-atlet yang menyertai SUKIPT 2022.

Mengulas mengenai capaian sasaran pingat emas, beliau berkata kontinjen UPM hampir mencapai 40 pingat emas yang disasarkan.

"Pada mulanya kami menyasarkan 35 pingat emas, kemudian melihat kepada perkembangan atlet kami telah naikkan kepada 38 pingat dan pada hari terakhir kami sasarkan 40.

"Bagaimanapun saya tetap bersyukur dan gembira dengan 38 emas ini. Akademi sukan akan terus mencari bakat sukan pelajar UPM, membuat latihan dan menyediakan fasiliti terbaik buat atlet," katanya.

UPM cemerlang di gelanggang olahraga apabila memenangi 19 pingat emas dan mengungguli kedua-dua kategori lelaki dan wanita bagi acara Ragbi 7s.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Senator Dato Dr.Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @ Hussin. -UPM

SXDcRAm~