| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar Skuad Rimba, siri animasi isu kelestarian hutan dan alam sekitar

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Sabri Omar 

BUKIT JALIL, 18 Februari - Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan Skuad Rimba iaitu siri animasi 3D yang mengetengahkan isu kelestarian hutan dan alam sekitar.

Pengasas Skuad Rimba, Dr. Norfaryanti Kamarudin berkata siri animasi Edutainment itu memaparkan kandungan yang berkenaan penjagaan serta mendidik kanak-kanak untuk lebih menjada alam sekitar dan ekosistem untuk masa depan.

“Skuad Rimba menonjolkan lima kanak-kanak yang mempunyai kuasa luar biasa berunsurkan alam antaranya tumbuhan, haiwan, tanah, api, air dan angin bersama watak adiwira baharu iaitu PUTRA Rimba,” katanya.

Tambah beliau, produk animasi ini kini sedang mencari pelabur untuk dapat menembusi pasaran media arus perdana seperti di stesen penyiaran, platform media sosial dan sebagainya.

Selain itu, antara yang terlibat dalam penghasilan Skuad Rimba iaitu Dr. Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus, Dr. Lee Seng Hua, Riana Liau Kang Ya dan dibantu oleh pelajar dari Kolej Komuniti Besut, Terengganu.

Skuad Rimba yang diterbitkan oleh MyRimba Sdn. Bhd. iaitu syarikat pemula bawah program Innohub UPM yang telah ditubuhkan pada Mei 2021 bertujuan menghasilkan animasi dan menyediakan kursus latihan untuk kesedaran dan mendidik masyarakat berkenaan kelestarian hutan dan alam sekitar.

MyRimba turut menyediakan kursus latihan yang direka untuk kanak-kanak merasai pengalaman hutan dan mempelajari kemahiran untuk memulihara alam semula jadi.

Animasi Skuad Rimba boleh ditonton di platform YouTube Channel MyRimba. - UPM

WXEXWA~