| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar Bangi Green Putra untuk pupuk Pertanian Bandaran bersama komuniti

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto oleh Noor Azreen Awang



BANGI, 16 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan projek Bangi Green Putra 2015 untuk memupuk projek pertanian bandaran bersama penduduk Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata projek pertanian bandaran itu menggunakan pelbagai teknologi UPM dalam kawasan yang terhad.

“Bangi Green Putra menyumbangkan ilmu dan kemahiran kepada komuniti bandar melalui kerjasama pelbagai agensi. Di UPM, pertanian bandaran telah dipraktikan oleh Taman Pertanian Universiti dan hasilnya menjana pendapatan universiti.

“Kini, banyak institusi dan orang ramai telah mula bertani untuk pengeluaran produk segar seperti sayuran, buah-buahan, tanaman hiasan, ulaman dan herba,” katanya semasa merasmikan projek itu di Surau D’ Wakaf, Seksyen 7/3, Bandar Baru Bangi.



Beliau berkata pertanian bandaran memberi impak besar kepada budaya pertanian bandaran dalam masyarakat kerana ia meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran profesional berkaitan pertanian.

Katanya pelaksanaan melibatkan masyarakat bandar samada di kawasan sekeliling bandar, kawasan lapang dalam bandar, persekitaran rumah dan perumahan, hospital, sekolah, pejabat dan lain-lain.

Dato’ Wan Azman berkata projek anjuran pejabat Pendaftar UPM di bawah Program Pementoran 2014/2015 itu hasil kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Institut Biosains, Taman Pertanian Universiti, Fakulti Pertanian, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Jabatan Pertanian dan Persatuan Penduduk Seksyen 7/3.

“Program pementoran itu bagi membimbing pegawai pengurusan dan profesional lantikan baru untuk mengembangkan potensi diri hasil bantuan pegawai terlatih,” katanya.



Projek komuniti Bangi Green Putra itu mendapat sambutan menggalakkan daripada 200 pengunjung iaitu penduduk Seksyen 7/3, guru RJ Muslim Kids Centre dan staf UPM.

Antara aktiviti sampingan ialah demonstrasi pertanian bandaran oleh Jabatan Pertanian, jualan anak pokok dan baja, lot gerai Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser dan demonstrasi dan jualan makanan.

Selain memberi ilmu, khidmat nasihat dan kemahiran profesional tentang pertanian bandaran kepada komuniti, UPM juga akan menganjurkan lawatan peserta ke kampusnya, projek bandaran Jabatan Pertanian, aktiviti berkebun, ceramah tanaman herba, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan bengkel landskap.

Projek Pertanian Bandaran iaitu pertanian di kawasan bandar bertujuan untuk pengeluaran produk segar seperti sayuran, buah-buahan, tanaman hiasan, ulaman dan herba untuk menjimatkan belanjawan isi rumah.

Pelaksanaannya melibatkan masyarakat bandar di kawasan sekeliling bandar, kawasan lapang dalam bandar, persekitaran rumah dan perumahan, hospital, sekolah, pejabat dan lain-lain.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Program Bangi Green Putra, Dr. Nor Asma Ab. Razak.


SXDdQAn~