| Universiti Putra Malaysia

UPM dan My Cytohealth Sdn Bhd jalin perjanjian penyelidikan perubatan regeneratif untuk haiwan

SERDANG, 3 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) telah membuat pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat My Cytohealth Sdn Bhd untuk penyelidikan yang menghasilkan produk perubatan regeneratif untuk haiwan.

Pertukaran MoA antara Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan bersama Ketua Pegawai Saintifik My Cytohealth Sdn Bhd, Dr. Daniel Looi Qi Hao telah dilakukan di Bilik Tetamu, Bangunan Canselori Putra UPM, hari ini.

Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Ladang Dan Eksotik, FPV, UPM, Profesor Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin berkata kerjasama ini adalah untuk menghasilkan produk perubatan regeneratif yang akan mempercepatkan tempoh haiwan pulih dari kecederaan yang dialaminya.

“Sebagai contoh, seekor kuda yang mengalami kecederaan pada tendonnya perlu masa rehabilitasi yang panjang dan kadangkala mengambil masa sehingga setahun," katanya.

Tambahnya, perubatan regeneratif dilihat dapat membantu dalam merangsang sel-sel tisu badan untuk berkembang dan seterusnya mempercepatkan lagi kadar pemulihan pada haiwan.

“Kita juga mengharapkan penghasilan produk perubatan regeneratif boleh digunakan untuk pelbagai jenis haiwan, bukan satu haiwan sahaja termasuklah haiwan kesayangan seperti anjing dan kucing.

"Produk yang dihasilkan dari kolaborasi doktor veterinar dan kejuruteraan bio ini akan menghasilkan produk yang terbukti keberkesanannya dari kajian klinikal yang dijalankan,” katanya. -UPM

SXEZCA~