| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Ladang Konjak Sdn Bhd jalin kerjasama penyelidikan ubi konjak di Malaysia

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Foto: Mohammad Izrul Abd Jabar

 

KAJANG, 14 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Ladang Konjak Sdn. Bhd sepakat meterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan penyelidikan bersama untuk tanaman ubi konjak, di Majlis Profesor Negara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, berkata MoA ini dapat menjadikan UPM sebagai perintis dalam pengeluaran ubi konjak yang berpotensi tinggi sebagai sumber makanan dan penghasilan pelbagai produk hiliran.

“Tanaman ubi konjak merupakan salah satu jenis tanaman yang akan membantu negara di dalam isu keterjaminan makanan dalam mencari alternatif lain dan mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.   

 

Sementara itu, Ketua projek, Dr. Martini Mohammad Yusoff dari Fakulti Pertanian UPM berkata MoA ini akan melaksanakan kajian perbandingan varieti, kajian fitokimia konjak, kajian keupayaan konjak sebagai pengganti makanan ruji serta apa-apa bidang kerjasama lain yang memberi manfaat bersama.

“Kita akan melaksanakan kajian kadar baja yang diperlukan termasuklah kesesuaian baja sama ada baja kimia mahupun baja organik, perubahan cuaca yang akan memberi kesan pada pertumbuhan ubi konjak serta pengairan dan sebagainya,” katanya.

 

Ujar beliau, perkara paling utama yang perlu diberi perhatian ialah amalan agronomi terhadap tanaman ubi konjak khasnya penilaian varieti memandangkan tanaman ini merupakan tanaman baharu di Malaysia dan memerlukan banyak penyelidikan.

“Kita juga perlu membuat kajian masa yang sesuai untuk menuai ubi konjak kerana akan mempengaruhi kandungan glukomanan iaitu serat semulajadi yang larut dalam air dan memberi pelbagai khasiat kesihatan serta membantu menurunkan kandungan gula dalam darah.

 

“Hasrat saya sebagai ketua projek bersama kumpulan penyelidik akan segera melakukan penyelidikan pada tanaman ubi konjak ini bagi mencapai setiap objektif kajian yang dilakukan terutamanya dalam menghasilkan ubi konjak yang berkhasiat tinggi

 

“Sekiranya kerjasama ini berjaya, kita mengharapakan agar lebih banyak bidang kerjasama dalam industri ini yang boleh diterokai di masa hadapan dan meningkatkan lagi fungsi amalan agronomi,” katanya.

 

MoA ini turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen, Ketua Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros, Setiausaha Politik menteri Ekonomi, Tuan Zam Hamzah, dan Pengarah Pemasaran Ladang Konjak Sdn. Bhd, Abdul Latif Shaaru.

WXEZVA~