| Universiti Putra Malaysia

UPM bekerjasama dengan KPJUC tingkat penyelidikan bidang pengimejan perubatan

 
 
NILAI, 14 Julai – Kerjasama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan KPJ Healthcare University College Sdn Bhd (KPJUC) tingkat penyelidikan dalam bidang pengimejan perubatan dalam industri kesihatan bagi pakar radiologi, termasuk kakitangan profesional lain untuk menilai dan mendokumentasi perkembangan sesuatu penyakit.
 
Melalui kerjasama ini, UPM dan KPJUC akan menjalankan projek penyelidikan melalui MoU bersama-sama FUJIFILM Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Maharani Specialist Hospital Sdn. Bhd (MHS) yang mengfokuskan penyelidikan bidang pengimejan perubatan dari segi kemajuan teknologi pengimejan yang tercanggih dengan pelbagai kepakaran di Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM.
 
 
Naib Canselor UPM, Dato Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata kemajuan dalam teknologi pengimejan dapat membentuk dimensi yang baharu bagi kerangka kesihatan di negara ini terutama dengan kerjasama diantara FUJIFILM Malaysia, UM dan MHS yang mempunyai kepakaran khusus yang kian berkembang di dalam negara.
 
"Ini kerana perkhidmatan diagnostik memainkan peranan penting kerana pesakit mengunjungi hospital dengan keyakinan bahawa mereka akan menerima penyelesaian kesihatan yang bersesuaian dengan kondisi mereka.
 
"Kemajuan dalam bidang pengimejan dapat memberi impak besar seperti memendekkan jangka waktu pelaporan, menunaikan keperluan segera pesakit serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh," katanya.
 
Beliau berkata, penyelidikan bersama ini juga akan menambah baik akses ke atas khidmat kesihatan berkualiti untuk pesakit dalam memperkukuhkan infrastruktur kesihatan negara.
 
Sementara itu, beliau berharap kerjasama antara universiti awam dan pihak swasta berjaya memberi hasil yang amat berfaedah kepada negara dan memberi impak besar terhadap kecemerlangan pendidikan terutamanya pendidikan perubatan.
 
Menurut Naib Canselor KPJUC, Prof Emeritus Dato’ Dr Lokman Saim berkata kerjasama yang terjalin ini akan menjadi langkah penting bagi menyediakan platform kolaboratif bagi semua pihak dalam mengenalpasti, merancang, dan memanfaatkan wawasan
terbaik serta pertukaran ilmu dan kepakaran yang akan membuat transformasi dalam memperincikan sektor kesihatan.
 
“Kami meramalkan bahawa kerjasama ini akan memberi manfaat kepada KPJUC, para pelajar, dan industri kesihatan secara keseluruhan, terutamanya apabila sumber daya dan kebijaksanaan kita dikumpulkan bersama untuk mencipta hasil yang lebih baik untuk semua.,” katanya. - UPM
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

WXFeRAk~