| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Program Jejak STEM D’Bawah Bayu pupuk minat pelajar terhadap STEM

Oleh: Amir Zakwan Mohd Zailani dan Muhammad Fauzi Md Hairi

KOTA KINABALU - Kelab My STEM Ambassador, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Jejak STEM D’Bawah Bayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Bundu Tuhan Ranau dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Don Bosco baru-baru ini.

Program ini bagi memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan matematik (STEM).

Program berslogankan ‘Syoknya STEM’ itu melibatkan semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 2 di SMK Bandaraya Kota Kinabalu dan SMK Bundu Tuhan Ranau manakala di SRK Don Bosco telah melibatkan semua murid darjah 3 hingga darjah 6.

Penasihat Kelab My STEM Ambassador UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata, program itu bertujuan bagi menerapkan pemahaman konsep sains asas dalam kalangan murid sekolah di Sabah.

“Program ini untuk menyemai minat elemen STEM dalam kalangan pelajar sekolah bagi meningkatkan jumlah pelajar yang menceburi bidang STEM. Berdasarkan statistik pada tahun lalu kira-kira hanya 19 peratus calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memilih aliran sains apabila menjejakkan kaki ke tingkatan empat termasuk di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, program itu merangkumi beberapa komponen aktiviti yang menekankan aspek penting dalam mendalami ilmu sains serta pengalaman baharu seiring dengan usaha untuk merangsang pertumbuhan minda ke arah yang lebih aktif, cemerlang dan berinovatif.

“Program ini turut mendedahkan murid mengenai pendidikan STEM dengan konteks dunia sebenar dan cara menerapkannya di luar kelas dengan melaksanakan aktiviti secara hands-on dan minds-on yang dinamakan ‘STEM race’ merangkumi beberapa konsep sains seperti elektromagnet, prinsip Bernoulli, keseimbangan, haba, ketumpatan dan aerodinamik yang telah dilaksanakan oleh pelajar UPM,” katanya.

Program ini turut mendapat sambutan dan kerjasama Kelab My STEM Ambassador Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penasihatnya, Dr Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, usaha bersama antara UPM dan UMS ini memberi peluang kepada pelajar universiti dalam berkongsi idea berkaitan STEM.

“Kerjasama antara UPM dan UMS ini menjadi perantaraan bagi mengembangkan lagi idea kreatif berkaitan STEM untuk dikongsi kepada masyarakat,” katanya.

Ketua fasilitator, Muhammad Fauzi berkata program kesukarelawanan sebegini dapat menarik minat pelajar sekolah terhadap STEM serta dapat meningkatkan kemahiran komunikasi sains dalam kalangan fasilitator.

“Program seperti ini dapat membantu dalam mempromosikan elemen STEM kepada pelajar sekolah. Dengan penglibatan murid seawal darjah 3 di SRK Don Bosco, saya berharap agar mereka dapat mengenali dan terus meminati sains, kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya.

“Program ini juga memberikan pengalaman yang berguna kepada kami terutamanya bagi meningkatkan kemahiran dalam komunikasi sains,” katanya.

Fasilator lain yang terlibat dalam menjayakan program ini termasuk Muhamad Zamri, Muhamad Zulkarnai, Muhammad Faiz Iqbal, Muhammad Nazreen, Muhammad Amir Zakwan dan Ahmad Danish Iskandar, mahasiswa Jabatan Fizik UPM, yang juga merupakan ahli Kelab My STEM Ambassador UPM.

Guru Besar SRK Don Bosco, Ivy Sapiun @ Patrick Sapiun berkata, program yang dilaksanakan oleh UPM seperti ini wajar diteruskan bagi memperkukuhkan bidang STEM pada masa kini.

“Ini merupakan aktiviti fizikal pertama selepas pandemik yang melibatkan pihak universiti di sekolah ini dan program seperti ini amat penting bagi membuka mata murid sekolah terhadap pentingnya sains dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pelajar tingkatan dua SMK Bundu Tuhan, Cornelia Madius berkata, program itu berjaya menarik minatnya untuk mempelajari ilmu sains secara mendalam. Dia juga bercita-cita untuk menyambung pelajarannya dalam bidang STEM suatu hari nanti.

“Aktiviti bersama UPM ini memberi motivasi kepada saya untuk terus meminati sains. Saya juga berhasrat untuk mengambil aliran sains tulen di tingkatan empat dan seterusnya ingin menyambung pelajaran di UPM kelak,” katanya. - UPM

WXEXRAQ~