| Universiti Putra Malaysia

UNDI 18: Pelajar UPM mahu ambil peluang turun mengundi

BINTULU, 28 Oktober – Pada 19 November ini, Pilihan Raya Umum Ke-15 akan dijalankan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memberi peluang kepada 5.8 juta orang bakal pemilih iaitu warganegara Malaysia termasuk pengundi berumur 18 tahun (UNDI 18) dan ke atas yang telah didaftarkan sebagai pemilih.
 

 
Bagi pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan, UPMKB, Yogadhashini Pethaperumal, 19, beliau menyambut baik dan akan mengambil peluang untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai warganegara Malaysia yang berintegriti.
 
“Dengan adanya UNDI 18 memberi peluang kepada saya dan anak muda lain untuk mengundi dan saya secara langsung dapat memilih pemimpin demi masa depan yang baik untuk negara,” katanya.
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, UPMKB, Nur Alya Nadhirah, 21, berkata generasi pada masa kini perlu melaksanakan UNDI 18 dan berharap generasi yang tinggal di luar Bandar perlu diberi perhatian mengenai UNDI 18.
 
“Saya berharap pada masa hadapan pihak berkenaan dapat menyalurkan informasi berkaitan pengundian kepada mereka yang berada di luar bandar kerana kurang mendapat pendedahan mengenainya kerana kekangan teknologi,” katanya.
 
Bagi pelajar Bacelor Sains (Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan), UPMKB, Nur Sharmila Haijal, 21, berkata, dengan adanya UNDI 18, secara langsung memberi peluang kepada belia untuk mendapat pendedahan kepada politik Malaysia secara matang.
 
“Belia boleh mengambil bahagian dalam pengundian serta dapat memahami sistem demokrasi negara dengan lebih baik lagi,” katanya.
 
Sementara itu, Pelajar Diploma Sains Komputer, UPMKB, Muhammad Ilham Naquib Kamarul Zaman, 19, berkata, harapannya agar semua belia yang boleh mengundi turun untuk mengundi bagi memilih kepimpinan negara dan membuat keputusan yang rasional semasa membuang undi.

SXEUCAy~