| Universiti Putra Malaysia

Shukry pilih perniagaan emas ingin didik ilmu kewangan buat pelajar

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar
 
 
SERDANG, 26 Nov - “Orang kaya sahaja yang boleh menyimpan emas”. Begitulah stigma yang sering dilemparkan oleh masyarakat.
 
Bagaimanapun, Ahmad Shukry Yahya graduan Bacelor Sains Pertanian UPM mengubah persepsi tersebut dalam kalangan pelajar universiti ketika beliau mula menceburi menjadi peniaga emas pada 2019.
 
“Ketika itu saya merasakan bahawa mahasiswa perlu mempelajari tentang ilmu kewangan dan juga simpanan emas. Saya nampak menjadi peniaga emas dalam kalangan pelajar merupakan satu keunikan yang lain daripada perniagaan lain.
 
“Saya akui memang ramai yang mencemuh saya seorang penipu dan tidak percaya pada saya ketika awal perniagaan. Namun, berkat keinginan untuk mendidik ilmu kewangan pada pelajar akhirnya orang yang pertama cakap saya penipu itu kini menyimpan emas dibawah saya,” katanya.
 
Anak bongsu kelahiran Kota Tinggi, Johor ini juga merupakan insan yang pertama dalam lima adik-beradiknya yang memperoleh ijazah.
 
“Kejayaan menggenggam ijazah ini merupakan hadiah buat ahli keluarga saya dan arwah ibu yang telah pergi pada 1 Syawal 2006. Alhamdulillah daripada 2019, hingga kini saya ada hampir 2,000 orang penyimpan emas di bawah saya,” katanya.
 
Baru-baru ini juga beliau telah menerima Anugerah Program Inovasi Terbaik dan Anugerah Program Terbaik Negeri Johor 2022 sempena Anugerah Ikon Johor 2022. -UPM

WXETNAf~