| Universiti Putra Malaysia

Putra Cakna @ Muzium Warisan Melayu rai warga Rumah Pengasih Warga Prihatin

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Izrul Abdul Jabar
 
 
SERDANG, 11 April: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (FBMK UPM) menganjurkan Program Putra Cakna @ Muzium Warisan Melayu: Semangat Al Falah iaitu majlis berbuka puasa bersama warga Rumah Pengasih Warga Prihatin buat julung kalinya di Muzium Warisan Melayu semalam.
 
Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman sangat terharu dan berterima kasih kepada penyumbang yang memberi sumbangan bagi pengumpulan dana untuk majlis berbuka puasa ini bersama golongan asnaf dan anak yatim.
 
"Majlis berbuka puasa adalah satu program yang dapat menggembirakan anak yatim dan asnaf untuk berbuka puasa di luar dan bagi meraikan mereka semua.
 
"Bukan itu sahaja, hasil kutipan sumbangan ini juga akan disalurkan kepada anak yatim, golongan asnaf UPM dan juga ibu tunggal bagi meraikan hari raya Aidilfitri yang akan datang ini bersama keluarga tercinta," katanya.
 
Beliau berkata jalinan hubungan ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk memupuk sikap prihatin di kalangan rakyat dan sejajar dengan konsep MADANI.
 
Program berbuka puasa ini dianjurkan sebanyak tiga kali iaitu pada minggu pertama, minggu kedua dan minggu ketiga Ramadhan 2023 bersama Rumah Pengasih Warga Prihatin. -UPM

WXFWKAY~