| Universiti Putra Malaysia

Program Cherish Your Moments beri pendedahan industri pendigitalan kepada pelajar UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 19 Dis – Kolej Empat Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) anjur Program Cherish Your Moments bersama panel jemputan iaitu Pencipta Kandungan Digital, Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank bagi memberi pendedahan industri pendigitalan kepada pelajar.

Program itu bertujuan bagi melahirkan bakat baharu dikalangan pelajar UPM dalam bidang digital dan multimedia serta penyuntingan video untuk mampu berdaya saing dalam industri tersebut di masa depan.

Pengarah Program, Muhammad Az Adam Rachim berkata penganjuran program yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar pentingnya mempunyai ilmu pendigitalan yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar.

“Pelajar secara langsung dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari serta menghasilkan karya yang kreatif khususnya melalui medium media sosial yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Pelajar Bachelor Sains Operasi dan Pembuatan Makanan Dengan Kepujian, Fakulti Sains Teknologi Makanan (FSTM), UPM, Nur Mazlina Hanim Md Zuki berkata beliau berasa gembira dapat mengikuti program ini kerana memperoleh ilmu baharu.

“Program ini bagus untuk pelajar dan dengan kehadiran Sofyank turut memberi inspirasi kepada saya untuk mendapatkan pengalaman dan input terkini mengenai penyuntingan video yang perlu seiring dengan trend semasa,” katanya.

Pelajar Bachelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian, UPM, Mohd Faez Abdul Farze berkata melalui program itu beliau melihat ilmu penyuntingan video adalah salah satu kemahiran insaniah kepada pelajar.

“Melalui program ini saya dapat melihat pelajar UPM sebenarnya mempunyai  minat dan dapat menonjolkan bakat baharu dalam bidang tersebut serta saya berharap program sebegini diadakan lagi untuk memberikan manfaat kepada pelajar UPM yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, antara aktiviti diadakan pada program tersebut adalah sesi forum perkongsian bersama Mohamad Sofian kepada para pelajar UPM serta sesi penjurian pertandingan video.

Sebanyak lima video terbaik yang telah terpilih untuk pertandingan pada program tersebut dan Johan bagi pertandngan video Cherish Your Moments dimenangi oleh pelajar Pertanian, Fakulti Pertanian, UPM,  Mohd Harzeman Admeer Simin.

Program Cherish Your Moments ini adalah sejajar dengan Matlamat Pelan Strategik UPM UPM 2021-2025, Matlamat 1 bagi Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.  - UPM

SXDdRAP~