| Universiti Putra Malaysia

PPUPM anjur Majlis Apresiasi hargai jasa bakti kakitangan pesara UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Md Nasir Hussin  

SERDANG, 9 Nov - Persatuan Pentadbir Universiti Putra Malaysia (PPUPM) meraikan ahli PPUPM yang telah bersara dan akan bersara pada tahun ini menerusi majlis apresiasi PPUPM yang dianjurkan di sini, hari ini.

Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata segala ilmu, kemahiran dan pengalaman sepanjang bertugas di UPM menjadi aset penting dan bernilai apabila menempuhi dunia persaraan.

"Saya yakin ada dalam kalangan tuan dan puan yang perkhidmatannya menjangkau 30 tahun di UPM. Kepada ahli persatuan pentadbir yang bersara, pihak universiti merakamkan penghargaan atas sumbang bakti yang diberikan kepada UPM.

"Tekad, azam serta iltizam para pentadbir akan membantu melonjakkan kecemerlangan UPM pada tahap yang lebih tinggi. Bagi saya, setiap pegawai tanpa mengira pangkat mempunyai peranan masing-masing dan kepentingan bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan oleh UPM," katanya.

Tambahnya lagi, sinergi kepakaran bakat di UPM antara kakitangan akademik dan bukan akademik amat signifikan yang akan mewujudkan solidariti berhubung peranan dan tanggungjawab setiap satunya dalam mempertingkatkan kecekapan tadbir urus universiti.

Sementara itu, Muzaffar Shah Kasim yang juga bekas Ketua Pustakawan kelima UPM berkata sungguhpun beliau sudah bersara namun berita kejayaan dan kecemerlangan UPM sentiasa dinantikan.

"Walaupun telah bersara, tetapi hati masih terdetik hendak ambil tahu pengembangan di UPM. Pagi tadi saya lihat UPM mengekalkan kedudukan QS Asia ke-27, Malaysia masih nombor dua 2 dan berita itu menggembirakan saya.

"Terima kasih pengurusan UPM yang telah memberi peluang kepada pesara untuk bertugas dan menjalankan tanggungjawab kepada UPM. Selamat maju jaya UPM," katanya.

Dalam pada itu, majlis ini turut memberi penghargaan kepada anak-anak Pentadbir yang cemerlang dalam pencapaian akademik Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). – UPM

SXEaEAN~