| Universiti Putra Malaysia

Polis wanita kongsi: tak mudah jadi polis sambil sambung belajar

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 29 Nov – Wanita di rumah adalah seorang pengurus rumah tangga yang gigih menjaga keluarga dan anak-anak. Namun di tempat kerja karakternya berubah menjadi seorang wanita yang tegas dek kerana tugas hakiki bagi melindungi negara.

 

Polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya, Noraini Mohamad 47, berkongsi, beliau menyambung pengajian ijazah sarjana muda bukanlah keputusan yang mudah lagi-lagi sewaktu pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

 

Bayangkan pada waktu itulah beliau sedang menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) sambil bertugas menjaga negara dan menguruskan anak-anak yang perlu belajar secara maya.

 

 

“Cabaran yang dihadapi sebagai petugas barisan hadapan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya perlu belajar secara atas talian. Ianya bukan mudah untuk saya dirumah.

 

“Demi negara dan bangsa saya sanggup berkorban mencari ilmu. Sampai bila saya akan berada di tahap yang sama, sebagai seorang anggota polis pasti mahukan sijil akademik yang lebih tinggi. 

 

“Alhamdulillah, saya berjaya menggenggam ijazah sarjana muda hari ni berkat sokongan suami, anak-anak dan rakan-rakan seperjuangan.

 

 

Noraini berjaya memperoleh Bacelor Komunikasi daripada Fakulti Bahasa Moden  dan Komunikasi, UPM pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 hari ini.

 

Beliau berkata segala cabaran dan halangan dihadapi menjadi pencetus semangat untuk meneruskan pengajian, di samping menabur bakti kepada masyarakat serta negara tercinta.

 

“Usia bukanlah penghalang untuk kita berjaya. Jika mahukan sebuah kejayaan, pengorbanan dan usaha lebih diperlukan,” ujarnya.

SXDDUAR~