| Universiti Putra Malaysia

Persidangan MYSUN kongsi amalan terbaik aktiviti kampus lestari

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar
 
 
SERDANG, 7 Disember – Malaysia Sustainable University Network (MYSUN) di bawah tajaan EU ERASMUS+ Capacity Building for Higher Education telah menganjurkan Persidangan Rangkaian Universiti Lestari Malaysia ke-2 2022 di UPM bagi berkongsi amalan terbaik aktiviti kampus lestari bermula 6 sehingga 7 Disember, hari ini .
 
Inisiatif MYSUN ini akan membantu seluruh IPT di Malaysia dalam usaha menerapkan budaya lestari ke dalam penghuni kampus masing-masing.
 
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin berkata persidangan ini diharapkan dapat memberi idea baharu serta perkongsian ilmu kepada universiti di bawah MYSUN bagi mempraktikkan amalan terbaik kelestarian kampus.
 
 
“Agenda MYSUN adalah untuk memberi penerangan amalan terbaik menjaga kelestarian melalui projek yang ada dalam setiap kampus masing-masing. Kita berkongsi amalan dalam memulihara kelestarian kampus dan MYSUN akan bawa perkara ini pada institusi yang lain juga.
 
“Sebagai contoh, UPM mempunyai sistem panel solar dikampus tanpa sebarang kos pemasangan yang lebih daripada 16MWp dan terbesar di IPT yang boleh dibuat oleh univeristi lain bagi penjimatan tenaga elektrik.
 
“Apa sahaja praktis terbaik yang ada demi kelestarian bumi, kita tidak boleh kedekut dan berahsia,” katanya.
 
 
Menurutnya, UPM yang menduduki tempat ke-27 sebagai universiti paling mampan di dunia oleh UI-Greenmetric World University Rangking akan sentiasa melakukan aktiviti menyokong 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) agar persekitaran yang lebih mampan dapat dipelihara.
 
Ahli projek MYSUN di Malaysia termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku Penyelaras Projek, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Multimedia (MMU) turut serta dalam persidangan ini bersama universiti lain dari beberapa negara.
 
Selain itu, rakan kongsi MYSUN di Eropah, iaitu University of Alicante (UA) juga mengambil bahagian dalam persidangan, begitu juga Università degli Studi di Genova (UNIGE) dan FH JOANNEUM Gesellschaft mbH (FHJ), yang telah menghadiri secara maya.-UPM

WXDdRAf~