| Universiti Putra Malaysia

Pengkaji Penyair Diraja Brunei Graduat PhD

SERDANG, 28 November – Pengorbanan cuti tanpa gaji berbaloi apabila graduan PhD Pengajian Sastera dan Budaya, Mohammad Shahrin Hj. Metussin berjaya bergraduat pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2 pada hari ini.

Beliau yang dahulunya berkhidmat sebagai guru di Maktab Duli Pangeran Muda Al-Muhtadee Billah, Brunei berkata beliau membuat keputusan untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat PhD kerana beliau mahu mendalami lagi ilmu kesusasteraan.

“Saya berterima kasih atas dorongan dan sokongan keluarga saya kerana mereka saya telah berjaya memiliki PhD seperti yang diidamkan oleh saya selama ini dan tanpa mereka saya tidak akan mencapai ke tahap ini,” katanya.

Menariknya, bidang kajian PhD beliau adalah mengkaji Penyair Diraja: Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairil Waddien iaitu ayahanda Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

“Hasrat saya mahu melihat naskah-naskah berkaitan syair terutamanya sastera Islam diangkat dan terus maju ke kehadapan di masa akan datang yang boleh dimanfaatkan kepada Brunei ataupun di Nusantara,” katanya.

Mohammad Shahrin berkata bidang sastera adalah masih relevan dan perlu diteruskan bagi memartabatkan bidang tersebut kepada masyarakat.

“Saya pasti masih ada industri yang memerlukan mereka untuk berbahasa Melayu yang sesuai dengan estetika terutamanya dalam industri kreatif perlu menggunakan medium sastera yang perlu penulisan yang berkualiti serta mengandungi falsafah dan ciri-ciri kreativiti dan sebagainya,” katanya.

Beliau kini telah berkhidmat di Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Brunei sebagai guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

WXEZMAa~