| Universiti Putra Malaysia

Pengarah syarikat arkitek landskap Verona Design Sdn. Bhd raih Master dengan PNGK 3.98

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang



SERDANG, 28 Nov – Ketekunan serta kegigihan Pengasas dan Pengarah syarikat Verona Design Sdn. Bhd, LAr. Wan Salamatul Juita Wan Hashim, 40, menuntut ilmu membuahkan hasil kejayaan apabila berjaya meraih Master dengan PNGK, 3.98.

Ibu kepada dua orang anak ini menerima Master Pengurusan Landskap Lestari pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 sesi tiga di sini hari ini, yang telah disampaikan oleh Pro Canselor UPM, Academician Emeritus Prof. Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin Syed Salim.

Juita berkata sebagai seorang pengarah syarikat beliau perlu memiliki ilmu yang lebih mendalam dalam dunia arkitek landskap untuk dikongsikan dengan pelangganya.

“Saya merasakan keperluan untuk saya belajar lebih banyak dalam bidang ini dan ilmu yang saya pelajari ini saya aplikasikan dalam syarikat serta berkongsi pada orang lain juga.

“Sememangnya saya tertekan ketika pandemik COVID-19 melanda Malaysia kerana saya perlu memastikan syarikat saya sentiasa stabil ditambah dengan keadaan ekonomi ketika itu yang kurang baik.

“Peranan saya sangat besar ketika itu dan saya perlu bekerja dari rumah berikutan perintah kawalan pergerakan, perlu menghadiri kelas secara maya dan menguruskan keluarga membuatkan saya memang hampir berputus asa,” katanya.

Sokongan daripada kawan-kawan yang kerap menyokong beliau menjadi kata azimat buat Juita agar tidak mengalah begitu sahaja.


Anak kelahiran England ini turut meluahkan rasa gembira dan berpuas hati apabila berjaya menamatkan pengajian selama setahun.

“Pesanan saya, manfaatkan ilmu yang kita ada dan berkongsi lah pada orang ramai kerana ilmu adalah untuk semua, bukan kita sendiri sahaja. Bantu bangsa dengan ilmu,” katanya. -UPM

SXETNAm~