| Universiti Putra Malaysia

Pemenang Anugerah Khas MGAP 2021 antara Dua Peratus Saintis Terbaik Dunia

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 2 Ogos - Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit meluahkan rasa terharu setelah meraih Anugerah Fellowship Naib Canselor kategori Anugerah Khas Akademia Putra.

Beliau berkata segala usahanya dan penglibatan kepada UPM sentiasa dihargai oleh institusi ini bahkan bukan sekali namun berkali-kali sejak pertama kali beliau berkhidmat di sini.

“Ini bukanlah anugerah pertama yang saya terima daripada UPM dan saya amat berterima kasih kepada UPM kerana sentiasa menghargai usaha saya. UPM juga sentiasa menyokong serta menghargai pencapaian warga akademiknya,” katanya.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu sentiasa menerima pelbagai anugerah sehingga ke peringkat antarabangsa selain merupakan antara dua peratus saintis terbaik dunia, Standford University, Amerika Syarikat.

“Nama saya tersenarai dalam dua peratus saintis terbaik dunia dan saya juga pernah menjadi penilai untuk Saintis Muda Negara. Saya sentiasa positif dan sentiasa mencari idea yang baharu kerana saya tidak suka pada stereotaip.

“Apabila saya membuat sesuatu saya akan melakukannya juga sehingga berjaya sebab saya selalu berpegang kalau orang lain boleh buat di peringkat internasional kenapa kita tidak boleh buat,” katanya.

Sumbangan serta buah fikirannya yang tidak pernah putus dalam bidang kejuruteraan serempak, bahan komposit polimer dan bahan biokomposit membuatkannya sentiasa dipanggil oleh negara luar untuk menilai kertas cadangan geran antarabangsa seperti di Belgium, Arab Saudi dan Switzerland.

Beliau yang merupakan Profesor Gred Khas ‘A’ dalam bidang bahan komposit di UPM berkata dirinya tidak akan mudah berpuas hati dengan anugerah khas yang diterimanya hari ini namun akan berusaha lagi untuk sentiasa menabur ilmu pada insan sejagat.

“Saya akan meneruskan penerbitan buku yang mana bidang ini tidak banyak diceburi oleh ahli akademik. Melalui penerbitan buku akan memberikan keterlihatan atau visibiliti seseorang pada masyarakat.

“Buku ialah satu kaedah yang sangat mudah untuk dikenali kerana apabila kita taip di Google, nama dan muka kita akan keluar. Di samping itu, saya tidak menepikan kepentingan jurnal saya,” katanya.

Beliau telah menulis lebih daripada 880 makalah jurnal, menulis lebih daripada 180 bab dalam buku dan menjadi pengarang atau editor lebih daripada 50 buah buku selain menjadi editor jemputan bagi 33 isu khas jurnal antarabangsa.

Terdahulu, Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan menerima Anugerah Khas Akademia Putra yang merupakan anugerah tertinggi dalam Majlis Gemilang Akademia Putra 2021 (MGAP) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM pada 28 Julai lalu. - UPM.

WXDcQAk~