Pelajar KMB Didik Budaya Kompos Dekati Penduduk Gemencheh | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Pelajar KMB didik budaya kompos dekati penduduk Gemencheh

Pelajar KMB didik budaya kompos dekati penduduk Gemencheh

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee

TAMPIN, 19 Mac - Komited dalam meningkatkan kelestarian terhadap alam sekitar, 30 pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berkongsi ilmu bersama 50 orang penduduk Kampung Tengah, Gemencheh, Negeri Sembilan ilmu pembuatan baja kompos menerusi program Bound To Society.

Pendidikan penghasilan baja kompos yang menggunakan sisa sayuran dan buah-buahan kepada komuniti ini secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah sisa yang dibuang.

Pengarah program, pelajar tahun dua Bacelor Sains Kejururawatan dengan Kepujian, Muhammad Fadlin Haziq Hamdan berkata masyarakat berminda lestari dapat dipupuk menerusi amalan baja kompos dan memanfaatkan sisa dapur khasnya selain merupakan cara yang mudah dan murah untuk membuat baja organik.

Sementara itu, Ketua Kampung, Mokhtar Rashid berkata pemindahan ilmu yang diberikan oleh pelajar KMB UPM ini memberi manfaat kepada penduduk setempat bahkan akan menyebarkan budaya ini kepada penduduk di kampung lain yang berdekatan.

"Melalui program pemindahan ilmu seperti ini menambah pengetahuan kami. Kebiasaannya sisa sayuran atau buah kami buang sahaja tetapi kulit telur ayam ada antara kami yang campak ke pokok.

"Fokus program seperti ini juga harus diberikan kepada golongan muda kerana mereka ini pewaris generasi akan datang dan membangunkan masyarakat berilmu," katanya.

Dalam pada itu, program selama tiga hari bermula 17Mac lalu sehingga hari ini turut diisi dengan taklimat organisma terubah suai secara genetik (GMO) dengan kerjasama Persatuan Genetik Malaysia sebagai aplikasi dalam meningkatkan produktiviti pertanian.

Pengarah program GMO, Lee Si Jie yang merupakan pelajar tahun dua Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian berkata perkongsian GMO menambah pengetahuan pelajar dan komuniti berkenaan contoh dan potensi pertanian menggunakan kaedah ini. 

Hadir sama dalam program ini Penyelaras DUN Gemencheh, Abd Latif A.Tambi dan Pengetua KMB UPM, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni. -UPM

Date of Input: 21/03/2023 | Updated: 21/03/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BWKEPAf:15:24