| Universiti Putra Malaysia

Makmal Kejuruteraan Sistem Terbenam tingkatkan hasil pembelajaran

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar
 
 
SERDANG, 9 Dis – Fakulti Kejuruteraan UPM dengan kerjasama NI Malaysia Sdn. Bhd. hari ini melancarkan Makmal Kejuruteraan Sistem Terbenam (Embedded Systems Engineering Laboratory) yang boleh digunasama oleh pelajar dan pensyarah dalam meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pembangunan modal insan.
 
Makmal tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor, UPM, Yang Hormat Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, bersama Pengarah Urusan NI Malaysia Selvam Chinappan dan disaksikan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin.
 
Prof. Ir. Dr. Mohd Khairol Anuar berkata kolaborasi strategik bersama NI memberi impak positif kepada proses pembangunan modal insan dimana staf dan pelajar berpeluang menggunakan perisian dan peralatan terkini.
 
 
“Makmal pengajaran ini dilengkapi dengan alatan dan sistem perolehan data (data acquisition system) yang akan membantu pelajar lebih memahami pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan fasiliti makmal berkaitan pembelajaran sistem terbenam serta sistem mekatronik.
 
“Sebagai contoh, perkakasan NI myRIO dan ELVIS III yang disediakan memberi pelajar dan fakulti pendedahan terhadap teknologi yang telah digunakan secara meluas dalam pelbagai industri dan pendedahan tambahan yang sejajar dengan keperluan industri,” katanya.
 
Selain itu, makmal tersebut boleh digunakan untuk pembelajaran dalam instrumentasi, reka bentuk litar elektronik, reka bentuk sistem kawalan, peralatan asas elektronik serta peralatan ujian prototaip. -UPM

SXEUEA~